Sh Sitti Saleha Habib Yussof
SANDAKAN (Bernama): Kompaun bernilai RM2.1 juta dikeluarkan ke atas majikan di Sabah sepanjang tahun ini kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata keseluruhannya sebanyak 238 majikan ditahan, dengan 31 daripadanya telah didakwa di mahkamah manakala prosiding perbicaraan membabitkan dua lagi majikan masih berjalan.
“Sebanyak RM2.1 juta kompaun dikeluarkan ke atas majikan yang ditangkap dan didakwa di mahkamah,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.
Sh Sitti Saleha berkata jabatan itu tidak akan berkompromi dan bersedia mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang melindungi pekerja asing tanpa dokumen atau pas yang sah.
Beliau berkata majikan yang bersubahat atau melindungi pendatang tanpa izin boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda maksimum RM50,000, penjara dan sebatan.
Katanya, bagi menangani isu pemalsuan dokumen serta lambakan pendatang tanpa izin, majikan disaran menyertai program pendataan digital warga asing yang giat dilaksanakan Kerajaan Sabah khususnya dalam sektor perladangan.
Dalam pada itu, Sh Sitti Saleha berkata sebanyak 909 pendatang tanpa izin warga Filipina dan Indonesia dihantar pulang ke negara asal masing-masing menerusi operasi pengusiran menerusi laut di Sandakan dan Tawau kelmarin.
Beliau berkata operasi itu membabitkan penghantaran pulang 802 warga Filipina berusia antara sebulan hingga 74 tahun dari Depot Imigresen Kota Kinabalu serta Papar ke Zamboanga City menaiki kapal MV Antonia melalui Pelabuhan Sandakan.
Sementara itu, sebanyak 107 tahanan warga Indonesia dari Depot Imigresen Tawau dihantar ke Pelabuhan Nunukan dengan menaiki feri komersial dari Pelabuhan Tawau.
Penghantaran terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif tahanan pendatang tanpa izin yang dihantar pulang dari empat depot di Sabah sejak awal tahun ini mencecah 8,405 orang.
Sh Sitti Saleha berkata kemudahan sedia ada di Depot Imigresen Sandakan, Tawau, Kota Kinabalu dan Papar memadai untuk menampung tahanan, namun pihaknya mencadangkan pembinaan depot baharu berkapasiti 3,000 orang di Tawau bagi menggantikan fasiliti lama yang hanya memuatkan 1,500 tahanan. — BERNAMA































