SANDAKAN (Bernama): Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 14 lelaki warga China dipercayai terlibat dengan sindiket penipuan dalam talian menerusi Ops Serkap di sebuah banglo tiga tingkat di Kota Kinabalu Rabu.
Pengarah JIM Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata operasi pada 11 malam itu hasil risikan pihaknya selama seminggu dengan kesemua suspek yang ditahan berumur antara 26 hingga 44 tahun.
“Empat suspek yang ditahan didapati transit di Kemboja sebelum tiba di Sabah, lima individu masuk menggunakan penerbangan terus dari China dan lima lagi transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
“Modus operandi mereka ialah menggunakan pas lawatan sosial untuk masuk ke Sabah sebagai pelancong,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.
Beliau berkata semakan awal didapati kesemua suspek melanggar Akta Imigresen 1959/63 iaitu salah guna pas, selain 13 daripadanya tinggal lebih masa dan seorang lagi tidak memiliki pas sah.
Sh Sitti Saleha berkata kesemua suspek dipercayai terbabit kegiatan penipuan dalam talian itu sejak Ogos lepas dengan menyasarkan mangsa di Malaysia dan luar negara.
“Mereka masuk sejak 3 Ogos, dan hanya layak tinggal di Sabah selama 30 hari tetapi hingga semalam (Rabu) tidak balik ke negara asal,” katanya.
Dalam serbuan itu, JIM Sabah merampas 14 unit komputer riba, 75 unit telefon bimbit disyaki untuk aktiviti scammer, wang tunai RM3,742 dan 560 yuan termasuk satu set peralatan serta kelengkapan Internet.
Beliau berkata kesemua suspek kini ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu dan JIM Sabah memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang negara. — BERNAMA
































