KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) mengalu-alukan jaminan Kerajaan Persekutuan untuk mewartakan Perintah Pemberian Khas Sabah sebelum penghujung tahun ini, sekali gus membuka laluan kepada pembayaran baki RM900 juta daripada keseluruhan RM1.5 bilion Pemberian Khas Interim kepada Sabah.
Ketua Penerangan PBS Dr Bonaventure Boniface berkata jaminan yang disampaikan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Dewan Rakyat pada 3 November lalu merupakan perkembangan positif bagi memastikan baki peruntukan itu disalurkan kepada Kerajaan Negeri.
Beliau berkata perkembangan itu mencerminkan hasil rundingan dan usaha berterusan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang konsisten memperjuangkan pembayaran baki RM900 juta dalam tahun ini.
Katanya, PBS sebagai sebahagian daripada Kerajaan Negeri, memberikan sokongan penuh terhadap pendekatan rundingan itu menerusi Presidennya Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang juga Timbalan Ketua Menteri I.
Jumlah Pemberian Khas Sabah menunjukkan peningkatan ketara daripada RM125.6 juta pada 2022 kepada RM300 juta pada 2023, RM600 juta pada 2025 dan seterusnya RM1.5 bilion pada 2026.
Daripada jumlah RM1.5 bilion itu, sebanyak RM600 juta diterima Kerajaan Negeri pada 12 Jun 2026, manakala baki RM900 juta masih menunggu pewartaan Perintah baharu di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan sebelum pembayaran dapat dilaksanakan.
Bagaimanapun, Dr Bonaventure menegaskan jaminan berkenaan perlu diterjemahkan kepada tindakan dan pembayaran sebenar.
Beliau berkata PBS akan terus memantau proses pewartaan sehingga keseluruhan baki RM900 juta diterima Kerajaan Negeri.
Pada masa sama, beliau menegaskan penerimaan RM1.5 bilion itu merupakan penyelesaian interim dan tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian muktamad terhadap hak perlembagaan Sabah.
Katanya, tuntutan hak pemberian khas berdasarkan formula 40 peratus di bawah Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 112C dan 112D, mesti terus diperjuangkan sehingga mekanisme yang adil serta jumlah akhir pembayaran dimuktamadkan.
Bagi PBS, perjuangan hak Sabah bukan sekadar mengenai angka dan jumlah peruntukan, tetapi lebih penting memastikan hak kewangan negeri diterjemahkan kepada pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Beliau berkata dana diterima perlu dimanfaatkan secara berkesan, khususnya bagi mempercepat penyediaan kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik, jalan raya dan infrastruktur di kawasan pedalaman yang masih memerlukan perhatian.
PBS akan terus berdiri bersama Kerajaan Negeri dalam memastikan hak Sabah diperjuangkan melalui rundingan tegas dan berterusan, selain memastikan setiap perkembangan positif diterjemahkan kepada manfaat sebenar untuk rakyat.
































