LAHAD DATU (Bernama): Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) terus memperkukuh kesiapsiagaan mendepani risiko tsunami di Sabah menerusi Program Latih Amal Bencana Tsunami Zon Lahad Datu yang diadakan selama tiga hari bermula semalam.
Ketua Pengarah NADMA Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata latihan itu bertujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan penyelarasan antara semua agensi tindak balas di daerah berkenaan.
“Latihan Meja (TTX) semalam menumpukan kepada teori, ceramah dan perbincangan manakala Latihan Simulasi Lapangan (FTX) hari ini melibatkan simulasi penuh sekiranya tsunami melanda daerah ini… sebelum ini, program sama diadakan di Kudat dan akan diteruskan di Sandakan dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata Sabah terdedah kepada risiko tsunami susulan kejadian gempa bumi, justeru latihan berkenaan penting bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan penyelarasan agensi di peringkat daerah.
Meor Ismail berkata penglibatan ketua kampung dalam latihan itu juga penting kerana mereka bertindak sebagai barisan hadapan pada peringkat awal kejadian sebelum ketibaan agensi penyelamat.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dzulbaharin Ismail pula berkata tujuh insiden simulasi FTX diadakan di sekitar daerah itu dari 9 pagi hingga 2.30 petang, membabitkan 192 anggota pelbagai agensi termasuk polis, bomba, tentera, Jabatan Kesihatan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
“Secara keseluruhan, latihan berjalan lancar namun beberapa kelemahan dikenal pasti antaranya kekangan aset dan sistem komunikasi,” katanya yang juga komandan operasi latihan berkenaan.
Sementara itu, Pegawai Daerah Lahad Datu Firuz Idzualdeen@Benetty Mohd Dzul berharap NADMA serta Pejabat Hal Ehwal dan Penyelidikan Negeri Sabah dapat memberi lebih perhatian terhadap kekangan yang dikenal pasti sepanjang simulasi tersebut.
Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana Lahad Datu itu berkata pihaknya juga berharap penambahbaikan dapat dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam mendepani bencana pada masa hadapan.
Beliau berkata hampir 400 sukarelawan dan penduduk setempat turut menyertai FTX sekali gus memberi peluang kepada mereka memahami situasi sebenar serta membuat persediaan sekiranya berdepan kejadian tsunami. — BERNAMA
































