KUALA LUMPUR (Bernama): Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia menyambut baik komitmen pelaburan tambahan Google sebanyak USD15 bilion di negara ini, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap kestabilan negara, keupayaan tenaga kerja serta hasrat Malaysia untuk muncul sebagai kuasa digital terkemuka di Asia Tenggara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyifatkan pelaburan itu sebagai satu pencapaian bersejarah yang mengukuhkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia serta peranan negara yang semakin berkembang dalam landskap kecerdasan buatan (AI) di peringkat global.
Beliau berkata pelaburan langsung asing (FDI) yang berimpak tinggi kekal penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara, di samping memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai antara peneraju dalam revolusi AI di peringkat global.
“Kemasukan modal dalam jumlah sebesar ini menjadi pemangkin kepada pengembangan ekonomi makro… pelaburan ini menyumbang kepada pembangunan infrastruktur fizikal berteknologi canggih, meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Malaysia serta mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam menerajui revolusi AI global.
“Kita mengalu-alukan komitmen ini sebagai satu pencapaian besar yang bersejarah. Pada masa sama, menerusi Kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, matlamat kita adalah untuk memastikan setiap pelaburan yang diterima selaras dengan hala tuju pembangunan negara yang lebih menyeluruh,” kata beliau berucap pada program Google Mantap Malaysia Bersama AI di Universiti Malaya di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil; Menteri Digital Gobind Singh Deo; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin serta Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat.
Terdahulu, Google mengumumkan hasrat untuk melabur USD15 bilion di Malaysia bagi tempoh 2027 hingga 2028 sebagai usaha memperluas infrastruktur digitalnya termasuk pembangunan kampus pusat data di Selangor dan Negeri Sembilan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan AI dan pengkomputeran awan.
Anwar berkata walaupun Malaysia mengalu-alukan komitmen pelaburan tambahan Google itu, kerajaan tetap bertekad untuk memastikan setiap pelaburan asing memberi manfaat berterusan kepada negara dan rakyat.
Mengenai pembangunan modal insan, Anwar menyambut baik komitmen pihak Google untuk meningkatkan kemahiran 800,000 rakyat Malaysia, sambil menegaskan kemajuan AI perlu dinikmati seluruh lapisan masyarakat, bukannya memperluas jurang ketidaksamaan sedia ada.
“Dalam Ekonomi MADANI, kejayaan bukan dinilai sekadar berdasarkan pencapaian yang menjadi tajuk utama berita, sebaliknya sejauh mana anak muda berbakat di negara ini mampu memperoleh pendapatan setimpal dengan keupayaan mereka serta bekerja dengan penuh keyakinan dan bermaruah di persada antarabangsa.
“Kita tidak mahu wujud jurang penguasaan AI yang hanya memberi manfaat kepada segelintir golongan elit di bilik mesyuarat atau makmal teknologi, manakala sebahagian besar rakyat sekadar menyaksikan perkembangan itu tanpa berpeluang menikmatinya,” kata beliau.
Beliau berkata inisiatif berkenaan turut diperluas ke politeknik serta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal yang bersesuaian dengan keperluan pekerjaan dalam sektor berteknologi tinggi.
Anwar turut memuji komitmen Google terhadap kelestarian alam sekitar termasuk kerjasama dengan pihak Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi meningkatkan kapasiti tenaga bersih melebihi satu gigawatt ke dalam grid elektrik negara tanpa melibatkan subsidi kerajaan.
Perdana Menteri berkata pelaburan yang bertanggungjawab perlu memastikan negara penerima memperoleh manfaat yang mampu memperkukuh keupayaan dan daya tahan negara, khususnya dalam pengurusan sumber asli serta memenuhi keperluan masyarakat.
“Malaysia sentiasa terbuka, mesra perniagaan serta komited meneruskan usaha gigih untuk menjadi peneraju era digital dengan sokongan pelabur berkaliber seperti ini,” kata beliau. — BERNAMA
































