Wilfred Madius Tangau
KOTA KINABALU: Kerajaan diminta memastikan pekebun kecil kelapa sawit di Sabah yang mengusahakan tanah hak adat anak negeri (NCR), tanah belum bergeran atau masih dalam proses pengukuran tidak tercicir daripada menerima bantuan tanam semula sawit.
Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata isu status dan dokumentasi tanah merupakan antara cabaran utama yang dihadapi pekebun kecil di Sabah untuk mendapatkan akses kepada bantuan kerajaan.
Beliau berkata kementerian perlu menyediakan mekanisme pengesahan yang bersesuaian dengan kerjasama Jabatan Tanah dan Ukur Sabah bagi membolehkan pekebun kecil berkenaan turut dipertimbangkan.
“Jangan kerana urusan tanah belum selesai, mereka tercicir,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Perladangan dan Komoditi di Dewan Rakyat, Rabu.
Madius turut meminta kementerian memperincikan pelaksanaan pembiayaan hibrid RM100 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 bagi membantu 4,500 pekebun kecil melaksanakan program tanam semula sawit.
Beliau ingin mengetahui jumlah peruntukan yang akan disalurkan kepada Sabah serta bilangan pekebun kecil di negeri ini yang bakal menerima manfaat daripada skim berkenaan, memandangkan separuh daripada pembiayaan itu perlu dibayar balik.
Selain isu kelayakan, beliau membangkitkan masalah kehilangan pendapatan yang terpaksa ditanggung pekebun kecil sepanjang tempoh menunggu tanaman sawit baharu mengeluarkan hasil.
Katanya, keadaan itu boleh memberi tekanan kewangan kepada keluarga yang bergantung sepenuhnya kepada hasil kebun sawit untuk menampung perbelanjaan harian dan persekolahan anak-anak.
“Bagi keluarga yang bergantung pada satu kebun, bila pokok ditebang, hasil pun terhenti. Belanja dapur dan persekolahan anak tetap berjalan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan mempertimbangkan bantuan pendapatan sementara kepada keluarga pekebun kecil yang memerlukan sepanjang tempoh pelaksanaan tanam semula.
Madius turut mencadangkan supaya komponen geran ditingkatkan bagi pekebun kecil berpendapatan rendah bagi mengurangkan beban kewangan mereka.
Sekiranya tanaman selingan diperkenalkan sebagai sumber pendapatan alternatif, beliau berkata sokongan pemasaran juga perlu disediakan bagi memastikan hasil tanaman berkenaan mempunyai saluran pasaran yang jelas.
Beliau turut meminta proses permohonan bantuan dipermudahkan dengan agensi berkaitan turun ke lapangan untuk membantu pekebun kecil melengkapkan dokumen serta memberikan maklumat jelas mengenai tempoh kelulusan dan penyaluran bantuan.
Katanya, pendekatan lebih inklusif diperlukan bagi memastikan pekebun kecil di Sabah, khususnya mereka yang berdepan isu dokumentasi tanah dan kekangan pendapatan, mendapat peluang yang adil untuk menyertai program tanam semula sawit.
SEMENTARA ITU, Madius turut meminta Kementerian Perladangan dan Komoditi memberikan perhatian khusus kepada pembangunan industri hiliran berasaskan kelapa sawit di Sabah, termasuk memanfaatkan biojisim dan minyak sawit mentah (CPO) untuk menghasilkan produk bernilai tinggi.
Beliau berkata Sabah mempunyai potensi besar untuk membangunkan industri pemprosesan hiliran yang bukan sahaja meningkatkan nilai komoditi, malah mampu membuka peluang perniagaan dan menyediakan lebih banyak pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Katanya, kementerian perlu menjelaskan langkah untuk menarik pelaburan, mendapatkan teknologi serta membuka pasaran bagi produk hiliran berasaskan sawit.
“Kita mahu bahan ini diproses di Sabah menjadi produk bernilai tinggi, membuka perniagaan dan menyediakan pekerjaan untuk anak-anak kita,” katanya.
Beliau turut mencadangkan kerjasama antara kementerian, Kerajaan Sabah, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta POIC Lahad Datu bagi menyelaraskan pembangunan industri berkenaan.
Antara potensi yang dibangkitkannya ialah pemprosesan selulosa daripada kelapa sawit untuk menghasilkan gentian, fabrik dan tekstil, selain bahan termaju seperti nanoselulosa yang boleh digunakan dalam pelbagai industri.
Madius berkata kementerian bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) perlu mempertimbangkan pembiayaan projek perintis serta membantu menghubungkan pemilik teknologi dengan pelabur dan pembeli industri bagi menguji kos pengeluaran, mutu produk serta penerimaan pasaran sebelum pengeluaran diperluaskan.
Beliau turut menekankan keperluan menyelaraskan bekalan bahan mentah dengan kilang sawit, selain menyediakan latihan, peluang pekerjaan bergaji baik dan ruang kepada pengusaha tempatan untuk terlibat sebagai pembekal.
Selain itu, beliau meminta kementerian mempertimbangkan peruntukan bagi menaik taraf Jalan Linsuk-Gomoron di Tuaran yang merentasi kawasan ladang kelapa sawit milik sebuah syarikat dan menjadi laluan akses kepada beberapa kampung.
Katanya, keadaan jalan yang tidak diselenggara dengan baik menyukarkan pergerakan penduduk, selain menjejaskan urusan berkaitan aktiviti ladang.
Sehubungan itu, beliau meminta kementerian turun ke lokasi untuk menilai keadaan jalan berkenaan serta mengadakan perbincangan dengan pihak syarikat dan agensi berkaitan bagi mengenal pasti kaedah pembiayaan dan tanggungjawab penyelenggaraan selepas kerja naik taraf dilaksanakan.
Madius berharap Jalan Linsuk-Gomoron diberikan keutamaan dalam perancangan pembangunan 2027 kerana laluan itu penting kepada penduduk beberapa kampung yang menggunakannya setiap hari.
































