Jamawi (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Faez.
KOTA KINABALU: Penganjuran Borneo Safari diharap dapat diteruskan tahun depan bagi memeriahkan sambutan Tahun Melawat Sabah 2027.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar berkata program seumpama itu bukan sahaja menarik penyertaan peminat sukan pacuan empat roda dari dalam dan luar negara, malah turut memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan Sabah.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan Borneo Safari di Dewan Hakka, di sini, semalam.
Jamawi mengucapkan syabas dan tahniah kepada Presiden Sabah Four Wheel Drive Association (SFWDA) Faez Nordin serta ahli jawatankuasa penganjur atas kejayaan menjayakan program berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja yang menyokong penganjuran Borneo Safari tahun ini serta peserta dari Sarawak, Semenanjung Malaysia dan luar negara.
Pada majlis itu, Jamawi turut mengumumkan tambahan hadiah wang tunai kepada para pemenang.
Hadir sama, Penolong Pengurus Bahagian Latihan Light Commercial Vehicle Division (LCVD), Masri Sani Kasmoi yang juga mewakili penaja Diamond temasya ini; Pengurus Kanan Bahagian Strategi dan Pemasaran Bahan Api PETRONAS Dagangan Berhad, Tengku Intan Syarinaz Tengku Mahama; Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Pengangkutan Jalan Sabah, Azaman Poji dan Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia, Mohd Khairol Nizam Mohamad Ibrahim Khan.




























