KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) mengadakan sesi libat urus Belanjawan Sabah 2027 bersama Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun di sini, kelmarin.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick berkata sesi itu memberi peluang kepada kementeriannya mengemukakan beberapa cadangan inisiatif baharu untuk pertimbangan dalam Belanjawan Sabah 2027.
Beliau berkata selain membincangkan inisiatif sedia ada yang dilaksanakan oleh MINDET dan agensi-agensi di bawahnya, sesi berkenaan turut memberi tumpuan kepada cadangan baharu kementerian.
“Selain inisiatif sedia ada oleh MINDET dan agensi-agensinya, saya juga telah membentangkan beberapa cadangan inisiatif untuk pertimbangan Belanjawan Sabah 2027,” katanya.
Ewon berkata SEDCOVEST, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), yang merupakan antara agensi di bawah MINDET, turut mengadakan pembentangan khas dalam sesi berkenaan.
Sesi libat urus itu merupakan sebahagian daripada proses penyediaan Belanjawan Sabah 2027 bagi membolehkan Kementerian Kewangan Negeri meneliti cadangan serta keperluan peruntukan yang dikemukakan oleh kementerian dan agensi berkaitan.
Hadir sama Setiausaha Tetap MINDET Datuk Thomas Logijin, Timbalan Setiausaha Tetap MINDET Moira David dan pegawai-pegawai kanan agensi di bawah MINDET dan Kementerian Kewangan Sabah.































