KUALA LUMPUR (Bernama): Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional bersetuju memendekkan tempoh memproses kelulusan pembiayaan kepada empat hari bagi mempercepat akses modal kepada usahawan mikro.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin berkata usaha mempercepat proses pembiayaan itu sebelum ini menyaksikan tempoh kelulusan dipendekkan secara berperingkat daripada 10 hari kepada tujuh hari.
“Kita minta turunkan lagi dan TEKUN setuju pada hari ini, mereka akan proses kelulusan dalam masa empat hari dan akan membayar pinjaman itu dalam masa lima hari bekerja.
“Sebabnya, kami melihat ke hadapan cara bagaimana hendak membantu usahawan kita untuk mendapatkan dana dengan begitu cepat. Mereka hendak modal cepat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai langkah penambahbaikan sistem penyampaian Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), khususnya melalui TEKUN Nasional bagi mempermudah dan mempercepat akses pembiayaan kepada usahawan mikro.
Mohamad berkata TEKUN Nasional turut menetapkan sasaran keputusan pembiayaan dalam tempoh 24 jam bagi permohonan bernilai bawah RM20,000, selain memperkenalkan sistem permohonan secara dalam talian sejak 7 Ogos lepas tanpa memerlukan pemohon hadir ke pejabat agensi itu.
Menjawab soalan asal Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai peratus usahawan mikro yang menerima pembiayaan dan bantuan agensi KUSKOP dari 2023 hingga 2026, Mohamad berkata sebanyak 8,008 usahawan mikro berjaya meningkatkan skala perniagaan kepada kategori perusahaan kecil atau sederhana.
Beliau berkata bagi tempoh 2023 hingga September 2024, KUSKOP menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional dan Bank Rakyat merekodkan 1.27 juta pembiayaan kepada usahawan mikro dengan nilai keseluruhan RM14.56 bilion.
Daripada jumlah itu, sebanyak 212,910 pembiayaan baharu bernilai RM2.19 bilion disalurkan menerusi AIM dan TEKUN Nasional manakala 1.05 juta pembiayaan berulang bernilai RM12.13 bilion turut direkodkan.
Pada masa sama, Mohamad berkata kadar pembiayaan tidak berbayar (NPL) TEKUN Nasional menurun daripada 12.66 peratus pada 2023 kepada 8.60 peratus setakat September 2024.
Beliau berkata kadar pembiayaan terjejas (NPF) Bank Rakyat turut menurun daripada 15 peratus kepada 11 peratus bagi tempoh sama manakala AIM mencatatkan kadar 0.09 peratus pada 2023, 0.02 peratus pada 2024 dan sifar peratus pada 2025. — BERNAMA


































