Dr Janathan Kandok
KOTA MARUDU: Herba tempatan perlu dilihat sebagai aset bernilai tinggi kerana khasiatnya serta potensi ekonomi yang mampu dimanfaatkan untuk menembusi pasaran global, kata Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Ekonomi Kota Marudu (PERKOM) Dato’ Dr Janathan Kandok.
Beliau berkata sekiranya masyarakat menyedari nilai dan khasiat herba, mereka pasti tidak sanggup menukarkannya dengan ketulan emas.
“Kunyit, hempedu bumi, tongkat ali dan kacip fatimah adalah produk amalan perubatan tradisional bernilai tinggi yang disokong kuat oleh kajian sains dan penyelidikan moden,” katanya pada majlis bersama pasukan pemasaran herba anjuran HPA International di Bian Republic, di sini, hari ini.
Menurut Janathan, herba wajar diibaratkan sebagai pelaburan emas kerana kaya dengan antioksidan, mempunyai sifat antikeradangan serta mengandungi nutrien semula jadi yang berpotensi menyokong sistem imun badan.
“Melabur dalam kesihatan diri menerusi amalan pemakanan herba merupakan langkah pencegahan awal yang jauh lebih berharga daripada menanggung kos rawatan penyakit pada kemudian hari,” katanya.
Beliau berkata industri herba turut mempunyai potensi ekonomi yang besar dengan pasaran global bernilai berbilion ringgit.
Katanya Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian biodiversiti mempunyai potensi besar untuk meneroka pasaran produk perubatan dan pemakanan berasaskan herba di peringkat antarabangsa.
Janathan turut berkata produk herba yang diproses mengikut piawaian saintifik dan kebersihan boleh menjadi pilihan pengguna, namun keselamatan dan kesesuaiannya perlu dinilai berdasarkan bukti serta kawal selia yang berkaitan.
Beliau menggalakkan usahawan dan peniaga herba tempatan di Kota Marudu supaya terus meningkatkan mutu produk, memanfaatkan penyelidikan saintifik serta memperluas pasaran bagi mengangkat nilai herba tempatan ke peringkat global.
Menurutnya, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor turut membantu usahawan herba di Sabah menerusi sokongan dan bantuan yang disalurkan secara terancang melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya dalam inisiatif pertanian serta pembangunan usahawan industri kecil dan sederhana.
Terdahulu, penyelaras majlis Jaburah Dagilon, seorang pengamal herba, dan Anuar Abd Laib, stokis HPA International, berkata tubuh badan mempunyai sistem pertahanan semula jadi, namun sistem itu boleh menjadi lemah apabila berlaku ketidakseimbangan angin dan suhu dalam badan yang menurut mereka berpunca daripada pengumpulan toksin.
Mereka berkata herba boleh membantu mengimbangi angin dan suhu dalam badan.


































