Ruddy (duduk, tengah) bersama Presiden Dr Aslie Hj Sahat (di sebelah kiri Ruddy), Setiausaha Agung PMPS, Alli Majittaba (di sebelah kanan Ruddy) serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi persatuan selepas kunjungan hormat di pejabatnya.
KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Dato’ Sri Dr Ruddy Awah menggesa pesara guru di seluruh Sabah supaya menyertai Persatuan Mantan Pendidik Sabah (PMPS) bagi memperkukuh kebajikan, perpaduan dan peranan mereka dalam pembangunan masyarakat serta negeri ini.
Beliau berkata, persatuan yang ditubuhkan kira-kira dua tahun lalu itu menyediakan platform khusus untuk menghimpunkan pesara pendidik, selain memastikan pengalaman, kepakaran dan sumbangan mereka terus dimanfaatkan selepas bersara daripada perkhidmatan pendidikan.
“Pesara guru mempunyai pengalaman, ilmu dan kepakaran yang amat bernilai. Persaraan bukan bermakna berakhirnya khidmat kepada masyarakat. Sebaliknya, pengalaman yang dimiliki boleh terus dimanfaatkan untuk membimbing generasi muda, membantu komuniti dan menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya.
Ruddy berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat lapan wakil kepimpinan tertinggi PMPS yang diketuai Presidennya, Dr Aslie Hj Sahat di pejabat beliau di Tingkat 8, Blok A, Kompleks Karamunsing, di sini.
Beliau memuji usaha kepimpinan PMPS menubuhkan persatuan berkenaan sebagai wadah menyatukan pesara pendidik di Sabah, sekali gus membuka ruang kepada mereka meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat walaupun telah menamatkan perkhidmatan rasmi.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan lebih ramai pesara guru di seluruh negeri tampil menjadi ahli bagi memperkukuh kedudukan serta peranan persatuan berkenaan.
Beliau turut menyarankan kepimpinan PMPS mempergiat usaha meningkatkan keahlian dan memperluas jaringan persatuan ke daerah-daerah di Sabah supaya lebih ramai pesara pendidik dapat menikmati manfaat penyertaan.
Menurutnya, antara manfaat menyertai PMPS ialah membina jaringan persahabatan dalam kalangan mantan pendidik, mengeratkan silaturahim, berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta menyertai program kebajikan dan aktiviti pendidikan serta pembangunan masyarakat.
Katanya, persatuan seumpama itu juga berpotensi menjadi saluran untuk menyuarakan pandangan, keperluan dan kepentingan pesara pendidik secara lebih tersusun, di samping menggalakkan aktiviti sosial dan kemasyarakatan bagi menyokong kesejahteraan golongan berkenaan.
Ruddy berkata, beliau secara peribadi menyokong penubuhan PMPS kerana matlamatnya bukan sahaja memberi manfaat kepada pesara guru, malah berpotensi menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan kemajuan Sabah secara keseluruhan.
Beliau turut berharap kepimpinan PMPS, termasuk pemimpin di peringkat akar umbi, memberikan kerjasama dan sokongan terhadap usaha pembangunan negeri yang dilaksanakan Kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Menurutnya, PMPS juga boleh memainkan peranan sebagai rakan masyarakat yang konstruktif dengan menyelaraskan program dan inisiatifnya bersama aspirasi pembangunan negeri menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya dalam aspek pembangunan modal insan, pendidikan, kebajikan dan kesejahteraan komuniti.
Beliau berharap PMPS terus berkembang sebagai persatuan yang inklusif, aktif dan berwibawa serta mampu menghimpunkan lebih ramai mantan pendidik tanpa mengira daerah tempat mereka pernah berkhidmat.
Turut menyertai kunjungan hormat itu ialah Timbalan Presiden PMPS, Hussin Basir; Naib Presiden, Datuk Dr Julkiflu Sukur; Setiausaha Agung, Alli Majittaba; Penolong Setiausaha Agung, Dr Kassim Buntak; Bendahari Agung, Shahrizan Abdullah serta beberapa ahli jawatankuasa tertinggi persatuan.


































