Armizan Mohd. Ali
PUTRAJAYA (Bernama): Kerajaan bercadang memperkenalkan rejim pelesenan bagi pengendali platform e-dagang termasuk platform yang beroperasi dari luar negara tetapi menawarkan perkhidmatan kepada pengguna di Malaysia.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata cadangan itu antara perkara utama yang diberi perhatian dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu bagi Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) e-Dagang dipengerusikannya hari ini.
“Melalui penggubalan RUU e-Dagang ini, antara perkara utama yang diberi perhatian ialah cadangan memperkenalkan rejim pelesenan bagi pengendali platform e-dagang, termasuk platform yang beroperasi dari luar negara tetapi menawarkan perkhidmatan kepada pengguna di Malaysia.
“Langkah ini bertujuan memperkukuh akauntabiliti platform, memastikan pematuhan terhadap undang-undang negara serta mewujudkan ekosistem e-dagang yang lebih selamat, telus dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata cadangan kawal selia ini akan diperhalusi dengan mengambil kira bidang kuasa kementerian dan agensi berkaitan serta keperluan pelaksanaan yang bersesuaian.
“Penggubalan RUU e-Dagang turut memberi penekanan kepada perlindungan kepentingan peniaga tempatan agar mereka dapat bersaing secara adil dalam pasaran digital.
“Kerajaan mahu memastikan semua pihak, termasuk platform dan penjual dari luar negara, tertakluk kepada tahap tanggungjawab dan pematuhan yang sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, Armizan berkata Jawatankuasa Pemandu ini diadakan bagi memperhalusi usaha memperkukuh kerangka perundangan yang mengawal selia ekosistem perdagangan elektronik (e-dagang) negara.
Katanya, penggubalan RUU ini bertujuan mewujudkan kerangka perundangan yang lebih komprehensif, seiring dengan perkembangan pesat ekonomi digital serta cabaran transaksi dalam talian yang semakin kompleks.
Penggubalan RUU ini digariskan berteraskan empat fokus utama Perlindungan Pengguna; Tanggungjawab Pengendali Pasar Dalam Talian (Platform); Vendor Dalam Talian (Penjual) dan Pengguna; Mekanisme Penyelesaian Pertikaian yang Efisien; serta keselarasan dengan undang-undang model antarabangsa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat lepas berkata kerajaan akan membentangkan RUU e-Dagang sebagai usaha untuk memperkukuh akauntabiliti platform dan penjual dalam talian. — BERNAMA


































