PENAMPANG: Seorang penunggang motosikal lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sebuah kereta di bulatan Pavilion, Jalan Bundusan, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 10.15 malam pada 10 Oktober.
Siasatan awal mendapati motosikal berkenaan yang datang dari arah lampu isyarat KDCA dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bulatan dan merempuh bahagian kanan sebuah kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 48 tahun.
“Penunggang motosikal lelaki mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, untuk bedah siasat.
Sammy berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni, di talian 019-809 5133 atau balai polis berhampiran.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas dan sentiasa berhati-hati, khususnya ketika melalui kawasan bulatan pada waktu malam.
Sammy turut meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar atau klip video berkaitan kemalangan itu bagi menjaga sensitiviti dan perasaan keluarga mangsa.






























