Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Peluang dalam pasaran karbon Sabah amat besar, namun Kerajaan Negeri tidak akan membenarkan projek yang belum dinilai sewajarnya dibawa ke pasaran atau didagangkan berdasarkan spekulasi.
“Kita akan melindungi reputasi dan jenama Sabah melalui disiplin kawal selia yang kukuh,” kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, projek yang tidak dirancang dengan baik, tuntutan iklim yang dibesar-besarkan, sumber yang dinilai terlalu rendah dan pengecualian komuniti Anak Negeri akan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kredit karbon Sabah.
“Justeru, adalah demi kepentingan komersial Sabah untuk mengekalkan standard tertinggi dari segi integriti alam sekitar, sosial, kewangan dan tadbir urus. Pembeli akan menuntut ketelusan sepenuhnya,” katanya pada Sabah Carbon Market Forum: Unlocking Carbon Market Opportunities for Sabah di Hotel Hilton di sini hari ini. Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.

Masidi mewakili Ketua Menteri merasmikan pembukaan Sabah Carbon Market Forum di Hotel Hilton, Kota Kinabalu, hari ini.
Ketua Menteri berkata, undang-undang seperti Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025 mengiktiraf secara sah pemilikan Kerajaan Negeri terhadap hak karbon dan menetapkan peraturan jelas bagi aktiviti berkaitan karbon, termasuk kelulusan projek dan perdagangan kredit.
“Sabah Climate Change Action Council (SCCAC) akan menyelia dasar iklim negeri, menyediakan belanjawan karbon negeri untuk kelulusan dan pewartaan menteri, serta menyelaras usaha antara agensi Negeri dan Persekutuan.
“Sabah Climate Registry and Inventory Centre akan menyediakan sokongan teknikal dan operasi kepada SCCAC. Secara bersama, rangka kerja ini bertujuan menyediakan saluran kawal selia yang telus dan terselaras kepada pelabur bagi kelulusan projek dan pendaftaran hak karbon,” katanya.
Hajiji berkata, Sabah mempunyai inisiatif kredit karbon berasaskan alam semula jadi pertama Malaysia yang disahkan melalui Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut, yang meliputi kira-kira 83,381 hektar hutan tanah rendah dan bukit yang kaya di negeri ini.
Projek itu, yang dijangka menghasilkan pengurangan pelepasan kira-kira 800,000 tan karbon dioksida (CO2), telah menetapkan penanda aras bagi inisiatif akan datang dan sejak itu dinilai sebagai bertaraf terbaik oleh BeZero Carbon, agensi penarafan kredit karbon global.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri turut membangunkan portfolio aset karbon yang dipelbagaikan merentasi sektor ekonomi utama, termasuk Ekonomi Biru, Pertanian, Tenaga Boleh Diperbaharui dan Teknologi Hijau, serta Penangkapan dan Penyimpanan Karbon.
Dalam sektor Ekonomi Biru, Sabah mempunyai lebih 340,000 hektar kawasan paya bakau, iaitu kawasan paya bakau berterusan terbesar di Malaysia.
“Kita mempunyai potensi besar untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi biru melalui bioteknologi marin, akuakultur mampan dan pelancongan berasaskan ekosistem marin,” katanya.
Dalam sektor pertanian, beliau berkata, industri minyak sawit Sabah meliputi hampir 1.5 juta hektar dan menawarkan peluang besar bagi penangkapan metana serta inisiatif mitigasi iklim lain menggunakan sisa pertanian.
Bagi sektor Tenaga Boleh Diperbaharui dan Teknologi Hijau, beliau berkata, berpandukan Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040, Kerajaan Negeri akan terus memperluaskan solar, hidro, biojisim dan biogas bagi menyediakan tenaga yang boleh dipercayai, mudah diakses dan mampu milik.
“Sabah menyasarkan untuk meningkatkan bahagian elektrik boleh diperbaharui menjelang 2030 melalui projek solar, hidro dan biojisim,” katanya.
Dalam sektor Penangkapan dan Penyimpanan Karbon, Hajiji berkata, lembangan geologi luar pesisir Sabah, bersama sempadan maritimnya, menawarkan potensi jangka panjang untuk penyimpanan karbon secara geologi dan meletakkan Sabah sebagai hab penyimpanan industri yang penting di peringkat nasional untuk berkhidmat kepada rantau ini.
Ketua Menteri berkata, dengan hampir 30 peratus daripada keluasan tanah Sabah ditetapkan sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA), ia akan menyumbang kepada komitmen biodiversiti Malaysia dan sasaran pemuliharaan global 2030 di bawah Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework serta meletakkan negeri ini pada peta pemuliharaan global.
“Sabah juga merupakan penyerap karbon bersih utama Malaysia, atau negeri karbon negatif, berdasarkan data inventori gas rumah hijau. Liputan hutan kita yang luas mengukuhkan keseluruhan kapasiti penyerapan karbon Malaysia sebanyak kira-kira 36 peratus.
“Melalui pengurusan hutan secara inklusif, yang diwujudkan dengan kerjasama komuniti tempatan, kita berusaha mengimbangi pemuliharaan alam sekitar dengan kesejahteraan sosioekonomi rakyat. Identiti dan masa depan Sabah berakar umbi dalam warisan semula jadi kita,” katanya.
“Di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), kita bergerak tegas ke arah pemuliharaan bernilai, dengan menjadikan perlindungan aset semula jadi kita sebagai peluang ekonomi yang bertanggungjawab.
“Tugas sekarang ialah pelaksanaan, iaitu membangunkan projek yang berwibawa, mewujudkan permintaan pasaran, mendapatkan pembiayaan dan memastikan pemuliharaan memberikan nilai yang berkekalan,” katanya.
Hajiji menyeru pemimpin kewangan, termasuk CIMB Bank Berhad, Bursa Malaysia, pemimpin sektor komersial dan pelabur, supaya membangunkan atau membangunkan bersama rangka kerja pembiayaan praktikal yang dapat merapatkan jurang modal bagi projek karbon berwibawa serta memenuhi sasaran iklim 2030 di bawah Perjanjian Paris.
“Kita mengalu-alukan anda untuk menjadi rakan kongsi kami, melabur di Sabah, mewujudkan operasi teknikal anda di sini dan membuka nilai sebenar modal semula jadi kita,” katanya.
































