Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Sabah mahu melahirkan generasi yang bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya mampu memahami teknologi, menghasilkan penyelesaian, mencipta nilai dan membangunkan inovasi sesuai dengan keunikan serta keperluan negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, penguasaan bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan penting bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Dalam keadaan ini, kita tidak boleh hanya sekadar melihat atau menjadi pengguna teknologi semata-mata. Kita perlu membangunkan generasi yang mampu memahami teknologi, menghasilkan penyelesaian, mencipta nilai dan membina inovasi yang sesuai dengan keunikan serta keperluan negeri kita sendiri.
“Sebab itu, kita mahu menukar senario daripada sekadar ‘pengguna teknologi’ kepada ‘pencipta teknologi’,” katanya ketika merasmikan penutupan Program Pembudayaan STI Bersepadu di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal.

Rina yang mewakili Ketua Menteri bergambar bersama pasukan Sekolah Kebangsaan Membedai, Labuan, johan Pertandingan Cabaran Siasatan Jenayah (Wilayah Persekutuan Labuan) pada Majlis Perasmian Penutupan Program Pembudayaan STI Bersepadu di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, hari ini.
Ketua Menteri berkata, perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), automasi, teknologi digital, bioteknologi, teknologi angkasa dan tenaga boleh baharu sedang membentuk semula cara manusia belajar, bekerja serta menjalankan perniagaan.
Katanya, penguasaan STI amat penting bagi membantu menjayakan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, termasuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang AI, teknologi digital dan sektor strategik berimpak tinggi.
“Kita tidak mahu rakyat Sabah ketinggalan dalam arus transformasi digital, yang sedang mengubah landskap pekerjaan, pendidikan dan pembangunan ekonomi pada masa kini dan masa hadapan,” katanya.
Hajiji berkata, Sabah mempunyai kekuatan tersendiri menerusi kekayaan biodiversiti, sumber semula jadi, kepelbagaian budaya dan potensi ekonomi yang luas, yang boleh diperkasakan melalui penyelidikan serta inovasi.
Katanya, antara bidang yang boleh diperkasakan ialah pertanian pintar, keselamatan makanan, biodiversiti, tenaga hijau, pengurusan sumber air, kesihatan, teknologi marin, pelancongan berasaskan sains dan ekonomi digital.
Sehubungan itu, Hajiji berkata, pembangunan bakat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) merupakan pelaburan jangka panjang yang amat penting bagi menghadapi cabaran masa depan, termasuk perkembangan teknologi AI.
Menurutnya, kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan, khususnya melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) serta UMS, perlu diperkukuh bagi memastikan agenda pembudayaan STI dilaksanakan secara berterusan dan menyeluruh.
Katanya, lebih banyak program perlu dibawa ke sekolah dan komuniti, termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman, supaya peluang mendapat pendedahan kepada sains dan teknologi tidak hanya tertumpu di bandar.
Beliau berharap karnival itu menjadi pencetus kepada lebih banyak jaringan kerjasama antara sekolah, universiti, agensi kerajaan, penyelidik, industri dan komuniti menerusi projek, latihan, pertandingan, bimbingan, penyelidikan bersama dan pemindahan ilmu.
Hajiji turut mahu hasil inovasi dikomersialkan dan dimanfaatkan dalam pelbagai sektor, termasuk membantu meningkatkan hasil pertanian serta mempermudah urusan perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS) di Sabah.
“Setiap usaha yang kita lakukan hari ini untuk mendekatkan generasi muda kepada STI merupakan satu pelaburan untuk masa depan Sabah,” katanya sambil menyeru ibu bapa dan pendidik terus menyokong minat anak-anak dalam bidang STI.
































