Tun Musa (empat dari kiri) bergambar kenangan bersama rombongan PGBM Cawangan Sabah.
KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman menerima kunjungan hormat Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) Cawangan Sabah yang diketuai oleh Pengerusi persatuan, Datuk Nordin Mohd Taip, di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
Dalam kunjungan berkenaan, Nordin berkata tujuan kunjungan itu adalah untuk membincangkan perkara berkaitan pendidikan di Sabah serta mencadangkan penerbitan sebuah buku biografi berkaitan Tun Musa.
“PGBM Cawangan Sabah mencadangkan penerbitan sebuah buku mengenai latar belakang dan perjalanan hidup Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman.
“Sesuai dibaca murid sekolah rendah dan menengah bagi membantu mereka mengenali latar belakang Tun Musa.
“Bahan mentahnya sudah siap ditulis, cuma terpulang kepada Tun Musa untuk perkenan penerbitan buku tersebut,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat berkenaan.
Nordin berkata, buku berkenaan dicadangkan untuk diterbitkan dalam edisi pelajar.
“Sekiranya diperkenan, buku tersebut boleh ditempatkan di perpustakaan sekolah atau disediakan kepada murid menerusi sumbangan.
“Ini cara kita mendidik masyarakat untuk memberikan satu penceritaan yang sebenar berkaitan tokoh-tokoh pemimpin yang ada di negeri kita,” ujarnya.
Turut hadir, Pegawai Khas Ketua Menteri, Datuk Murshidi Abd Ghaffar, Guru Besar SK Api-Api Kota Kinabalu, Hafiz Zuraimy Damsah dan Guru Besar SK Gayang Tuaran, Mateli Ekeh.
































