Para peserta SCE 2026.
KOTA KINABALU: Isu hak Sabah terhadap 40 peratus hasil serta penggunaan peruntukan belanjawan Persekutuan yang belum dimanfaatkan sepenuhnya menjadi antara tumpuan Seminar Ekonomi Kontemporari Kali Ketiga (SCE 2026) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.
Seminar anjuran Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS itu membawa tema “Foundations of a ResilientEconomy” yang menekankan kepentingan membina sistem ekonomi yang berdaya tahan, mampan dan inklusif dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Seminar tersebut menghimpunkan ahli akademik, wakil institusi penyelidikan dan kerajaan serta pihak industri bagi berkongsi hasil penyelidikan, pandangan dan pengalaman berkaitan pembangunan ekonomi.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata tema seminar berkenaan mencerminkan keperluan untuk membina sistem ekonomi yang mampu menghadapi perubahan dan cabaran semasa.
“Seiring dengan perkembangan ekonomi yang terus berubah akibat kemajuan teknologi yang pesat, adalah penting bagi ahli akademik, pembuat dasar dan pemimpin industri untuk bekerjasama dalam menghasilkan idea inovatif serta penyelesaian berasaskan bukti.
“SCE 2026 menyediakan platform yang baik untuk interaksi bermakna, pertukaran ilmu dan kerjasama antara disiplin dalam kalangan pakar serta pengamal yang berusaha menangani isu-isu tersebut,” katanya semasa merasmikan seminar tersebut.
Forum yang diadakan sempena seminar itu memberi ruang kepada peserta membincangkan isu ekonomi yang mempunyai kaitan langsung dengan pembangunan Sabah, termasuk hak 40 peratus hasil negeri dan penggunaan peruntukan belanjawan Persekutuan.
Perbincangan turut menyentuh beberapa aspek penting dalam membina ekonomi yang berdaya tahan, antaranya kepelbagaian ekonomi, pembangunan infrastruktur, tadbir urus yang responsif, kekuatan kewangan, kebolehsuaian tenaga kerja serta penerapan prinsip ekonomi kitaran.
Selain forum, seminar tersebut turut menampilkan pelancaran dua buah buku, iaitu Road to Doctor karya Dekan FPEP, Profesor Madya Dr. Mohd. Rahimie Abd. Karim dan Dr. Mohamad Isa Abd. Jalil serta sebuah kompilasi artikel hasil penulisan Kasim yang membincangkan isu ekonomi, pembangunan dan masyarakat.
Empat pembentangan penyelidikan turut diadakan, meliputi keupayaan pekerja, latihan dan produktiviti, kecekapan teknikal firma ayam pedaging di Sabah serta faktor makroekonomi yang mempengaruhi pengangguran di Sabah dengan perbandingan melibatkan Malaysia dan Sarawak.
































