KOTA KINABALU (Bernama): Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Sabah hari ini bagi lawatan dua hari dengan beberapa program rasmi dijadualkan termasuk mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Tahun 2026 esok.
Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 6.45 petang dan dijadual menghadiri Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat MA63 di Magellan Sutera Harbour.
Ketibaan Anwar disambut oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud dan Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.
Esok, Perdana Menteri dijadual mempengerusikan Mesyuarat MTPMA63 Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini pada sebelah pagi.
Mesyuarat itu, yang dijangka dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Hajiji, akan memberi tumpuan kepada perkembangan pelaksanaan perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 serta isu melibatkan kepentingan kedua-dua negeri.
Selepas mesyuarat itu, Anwar dijadual menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Likas di sini sebelum meneruskan lawatan ke pusat pemindahan sementara mangsa kebakaran Kampung Numbak di Dewan Serbaguna Damai pada tengah hari.
Pada 30 Ogos lepas, kebakaran itu memusnahkan kira-kira 200 rumah atas air, dengan tiga mangsa ditemukan rentung. — BERNAMA
































