KOTA KINABALU: Satu stesen pemantauan di Sabah merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat iaitu 142 pada jam 5 petang tadi, manakala lima kawasan lain mencatatkan kualiti udara pada tahap sederhana.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, Nor Rashidah Mohd Ghazali berkata, stesen berkenaan mula mencatatkan bacaan melebihi 100 sejak jam 12 tengah hari tadi.
“Pada jam 5 petang, satu stesen mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu 142, manakala lima kawasan lain masih mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana iaitu Kota Kinabalu 97, Kimanis 95, Keningau 93, Sandakan 78 dan Tawau 79,” katanya dalam kenyataan media mengenai status semasa kualiti udara dan jerebu di Sabah, hari ini.
Beliau berkata, kualiti udara di negeri ini terjejas akibat jerebu rentas sempadan susulan kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan.
“Asap tebal daripada kebakaran tersebut telah dibawa oleh tiupan angin ke wilayah Borneo, termasuk Sabah,” katanya.
Nor Rashidah berkata, kebakaran 202 buah rumah setinggan atas air di Kampung Numbak, Kota Kinabalu, pada awal pagi tadi turut menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara setempat.
Bagaimanapun, katanya, tiada kejadian kebakaran besar lain di sekitar Kota Kinabalu dilaporkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.
Menurutnya, berdasarkan laporan ASMC yang berpusat di Singapura pada 29 Ogos, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 mengesan dua titik panas di Tuaran dan Kota Belud.
“Titik panas ini dikesan di kawasan belukar dan kebakaran telah padam sepenuhnya. Tiada hotspot dikesan di lokasi sama bagi cerapan 30 Ogos 2026.
“Paparan ASMC pada 30 Ogos 2026 pula menunjukkan dua titik panas dikesan di Kampung Numbak yang melibatkan kebakaran rumah setinggan atas air,” katanya.
Dalam pada itu, sebanyak 1,107 titik panas dikesan di Kalimantan berdasarkan cerapan pada 29 Ogos 2026.
Nor Rashidah berkata, berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, bacaan IPU antara 101 hingga 200 menunjukkan kesan kesihatan pada tahap tidak sihat, manakala IPU 201 hingga 400 pada tahap sangat tidak sihat dan bacaan melebihi 400 hingga 500 pada tahap sangat bahaya.
“Apabila IPU mencecah bacaan 200, sekolah, tadika dan taska akan ditutup serta-merta,” katanya.
Berikutan cuaca panas dan kering, beliau berkata JAS bersiap siaga untuk meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian di kawasan yang berpotensi berlaku aktiviti pembakaran terbuka, selain memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.
“Setakat ini sebanyak 474 rondaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) telah dijalankan,” katanya.
Nor Rashidah turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan bacaan IPU terkini setiap jam melalui laman sesawang JAS atau aplikasi telefon pintar rasmi MyIPU di Play Store.
Orang ramai juga dinasihatkan melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan nasihat kesihatan dan langkah pencegahan semasa jerebu.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah dan premis milik mereka dimasuki atau dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka, sama ada untuk tujuan tertentu atau secara tidak sengaja.
Katanya, menurut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak kurang RM25,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Kompaun maksimum RM2,000 atau tidak melebihi RM500,000 juga boleh dikenakan atas kesalahan melakukan pembakaran terbuka,” katanya.
Orang ramai turut diminta bekerjasama memadam kebakaran kecil serta melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada JBPM menerusi talian 999 dan JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727.




























