James (empat dari kiri) semasa menyerahkan Biasiswa Kecil PETRONAS kepada wakil pelajar penerima biasiswa.
KOTA KINABALU: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) terus memainkan peranan sebagai rakan strategik Kerajaan Negeri Sabah dalam memperkukuh pembangunan pendidikan dan modal insan di negeri ini.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata, kerjasama antara kerajaan negeri dan PETRONAS amat penting dalam memastikan lebih ramai anak Sabah mendapat peluang membina masa depan yang lebih baik menerusi pendidikan dan kemahiran.
“Pendidikan merupakan antara pelaburan paling penting untuk masa depan Sabah kerana pembangunan infrastruktur, industri dan ekonomi perlu disokong rakyat yang berilmu, berkemahiran serta berkeupayaan menggerakkan pembangunan negeri.
“Pembangunan modal insan bukan perkara sampingan tetapi sebahagian daripada agenda utama Negeri Sabah.
“Usaha membangunkan modal insan tidak seharusnya terhenti pada pendidikan akademik semata-mata, sebaliknya turut merangkumi pembangunan kemahiran menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Anugerah Tajaan Pendidikan PETRONAS Memperkasakan Ilmu Sabah 2026, di sini, pada Jumaat.
Menurut James, Sabah sedang bergerak ke arah ekonomi lebih pelbagai memerlukan tenaga mahir bukan sahaja dalam sektor minyak dan gas, malah perkilangan, pembinaan, tenaga, pelancongan, pertanian, teknologi dan ekonomi digital.
“Kita mahu anak-anak Sabah menjadi sebahagian daripada tenaga penggerak ekonomi negeri, bukan sekadar menjadi penonton kepada pembangunan yang berlaku di negeri Sabah.
“Bidang ini mungkin kedengaran sangat teknikal, tetapi inilah jenis kemahiran yang kita perlukan untuk menyokong industri moden,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri mahu mengubah persepsi bahawa pendidikan kemahiran merupakan pilihan kedua kerana tenaga mahir yang mempunyai kompetensi, disiplin dan pensijilan yang diiktiraf industri mempunyai nilai yang tinggi.
Katanya, laluan pendidikan yang disediakan perlu bersesuaian dengan minat dan kebolehan pelajar serta peluang pekerjaan yang wujud.
Beliau turut menekankan kepentingan penglibatan industri dalam menentukan kemahiran yang diperlukan, selain kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan dan latihan serta industri.
“Apabila ketiga-tiga pihak ini bergerak bersama, barulah kita dapat melahirkan tenaga kerja Sabah yang benar-benar memenuhi keperluan industri,” tambahnya.
Majlis tersebut menyaksikan lebih 100 orang pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sabah menerima tajaan pendidikan menerusi Program Tajaan Pendidikan PETRONAS Memperkasakan Ilmu 2026 dan 25 pelajar sekolah menengah menerima Biasiswa Kecil PETRONAS.
Turut hadir, Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (PETRONAS), Datuk Ir. (Dr.) Bacho Pilong, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Norlija Dinin, Pengarah Pendidikan Negeri, Abidin Marjan dan Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Datuk Siti Ayu Haniza Abdul Wahab.
































