Toh Puan Faridah (tengah) menerima cenderamata daripada Merr (kanan).
KOTA KINABALU: Potensi pasaran barang kemas dan emas di Sabah dilihat semakin memberangsangkan susulan peningkatan permintaan daripada pelanggan tempatan serta antarabangsa.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB, Datuk Seri Meer Sadik Habib berkata, Sabah merupakan antara pasaran yang mempunyai potensi besar bagi industri barang kemas, bukan sahaja sebagai barangan perhiasan, malah sebagai salah satu bentuk pelaburan dan penyimpanan nilai.
“Selama 35 tahun bertapak di negeri ini saya menyaksikan perkembangan positif dalam permintaan terhadap barang kemas, khususnya emas dan berlian.
“Potensi di Sabah ini amat bagus sekali kerana bukan sahaja orang membeli barang kemas sebagai perhiasan, tetapi juga sebagai pelaburan.
“Peningkatan harga emas yang ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut mendorong masyarakat menjadikan emas sebagai aset simpanan bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan peningkatan inflasi,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Bilik Pameran Habib Imago, di sini, pada Khamis.
Perasmian itu disempurnakan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Faridah Tussin.
Beliau menjelaskan, pembukaan cawangan terbaru di Pusat Membeli Belah Imago, Kota Kinabalu merupakan langkah strategik bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.
Beliau berkata, sebelum ini pihaknya telah mengadakan pameran di Hyatt Kota Kinabalu sebelum membuka cawangan di 1Borneo dan Suria Sabah.
“Sabah bukan sahaja mempunyai pelanggan tempatan, malah kita turut menerima ramai pelanggan antarabangsa, khususnya di pusat membeli-belah utama seperti Imago,” katanya.
Beliau yakin perkembangan industri barang kemas di Sabah akan terus positif, didorong oleh permintaan terhadap emas dan berlian yang bukan sahaja dilihat sebagai perhiasan, tetapi turut mempunyai nilai sebagai aset dan pelaburan.

































