Saifuddin Nasution
PUTRAJAYA, 18 Ogos (Bernama): Kementerian Dalam Negeri (KDN) diarah mengemukakan data pelarian yang sedang dikumpul menerusi program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) menjelang hujung tahun ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata data berkenaan akan diserahkan kepada Jawatankuasa Kabinet berkaitan bagi tindakan susulan.
“KDN diminta untuk mengemukakan bilangan yang berjaya kami proses dengan mengenal pasti statusnya secara tepat dan sahih (melalui DPP) kepada Jawatankuasa Kabinet pada hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban.
Saifuddin Nasution berkata ketika ini, KDN melalui agensi di bawahnya sedang memuktamadkan data pelarian melalui proses temu duga di semua depot tahanan seluruh negara.
“(Kita tentukan) apakah benar-benar mereka merupakan pelarian atau mereka individu yang ada kes lain dan sebagainya?.
“Ataupun mereka merupakan warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen yang seperti salah guna pas, tinggal lebih masa, masuk tanpa dokumen dan sebagainya. Kita harus establish dulu bilangan tu,” katanya.
Ditanya adakah pelarian Myanmar yang dikenal pasti itu merangkumi etnik Rohingya, beliau berkata etnik itu ialah satu daripada pelarian Myanmar.
Sebelum ini, Saifuddin Nasution berkata data awal pelarian Myanmar yang kini dikenal pasti menerusi program DPP dijangka diperoleh pada suku keempat tahun ini.
Media melaporkan KDN menerusi JIM sedang melaksanakan program DPP bagi mengurus isu golongan itu secara tersusun, selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara No 23 (Semakan 2023).
KDN memaklumkan program itu diwujudkan bagi membolehkan kerajaan memperoleh data biometrik dan maklumat identiti lebih tepat, lengkap dan boleh disahkan mengenai individu yang berada dalam kategori pelarian.
































