Dr. Rockey (tengah, kiri) bersalaman dengan Dr. Christoper (tengah, kanan), selepas membuat kenyataan media di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat PBS, di sini, kelmarin.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Exco Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Pusat (Kuota Biru), Dr. Rockey Jerome Budin, mengumumkan keputusan menarik diri daripada menawarkan diri bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda PBS Pusat pada pemilihan parti kali ini.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek dan pertimbangan mendalam, khususnya demi kepentingan, perpaduan serta masa depan PBS.
Menurutnya, peralihan kepimpinan parti ketika ini memerlukan sokongan padu daripada seluruh anggota bagi memberi ruang kepada Presiden dan barisan kepimpinan baharu menstabilkan parti, merapatkan saf serta memperkukuh organisasi.
“Peralihan fasa kepimpinan memerlukan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi. Saya percaya kita harus memberi peluang penuh kepada pucuk pimpinan baharu untuk mengukuhkan asas parti, merapatkan saf dan menstabilkan pentadbiran tanpa sebarang gangguan dalaman,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr. Rockey berkata, keputusan itu turut mengambil kira keperluan PBS memberi tumpuan sepenuhnya kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Katanya, perkembangan politik semasa menuntut tahap kesiapsiagaan tinggi dan seluruh tenaga parti perlu digembleng bagi memperkukuh jentera serta memastikan PBS bersedia menghadapi cabaran pilihan raya.
“Fokus kita hari ini mesti dialihkan sepenuhnya kepada persiapan jentera parti bagi menghadapi PRU yang dijangka tidak lama lagi, tanpa tenaga kita dipecahkan oleh persaingan dalaman yang berpanjangan,” katanya.
Beliau menegaskan kepentingan parti perlu sentiasa mengatasi kepentingan peribadi, termasuk dalam soal jawatan dan kedudukan.
“Bagi saya, jawatan dan kedudukan bukanlah keutamaan. Apa yang jauh lebih penting ialah kelangsungan, perpaduan dan kemenangan parti. Kepentingan PBS harus diletakkan jauh melebihi segala kepentingan individu atau kelompok,” katanya.
Sehubungan itu, Dr. Rockey berkata beliau dengan berlapang dada memberi laluan sepenuhnya kepada Datuk Dr. Christoper Mandut untuk terus menerajui kepimpinan Pemuda PBS Pusat.
Dalam pada itu, beberapa calon lain yang menawarkan diri bagi jawatan dalam barisan kepimpinan Pemuda PBS Pusat turut mengambil keputusan menarik diri bagi memberi laluan kepada penyandang serta pemimpin lain yang dikenal pasti untuk mengisi jawatan berkenaan.
Bagi jawatan Timbalan Ketua Exco Pemuda Pusat (Kuota Biru), Pegawai Penerangan Pemuda PBS, Steve Johnny Mositun menarik diri daripada pertandingan bagi memberi laluan kepada Stanley Leo, sekali gus membolehkan Stanley menang tanpa bertanding bagi jawatan berkenaan.
Sementara itu, bagi jawatan Timbalan Ketua Exco Pemuda Pusat (Kuota Kuning), Setiausaha Pemuda PBS Bahagian Kepayan, Adlu Shah turut menarik diri bagi memberi laluan kepada Mohd. Khairol Majde, yang juga Naib Ketua (Kuota Kuning), untuk menang tanpa bertanding.
Bagi jawatan Naib Ketua (Kuota Biru) pula, Exco Pemuda, Rainy Valentine mengambil keputusan menarik diri daripada pertandingan bagi memberi laluan kepada seorang lagi rakan beliau dalam barisan Exco Pemuda, Kevin Jon Johnny untuk menang tanpa bertanding.
Dr. Rockey berkata, perkembangan itu mencerminkan kesediaan dalam kalangan barisan Pemuda PBS untuk mendahulukan kepentingan dan perpaduan parti berbanding persaingan mendapatkan jawatan.
Menurutnya, semangat bertolak ansur dan kesediaan memberi laluan itu amat penting bagi memastikan proses peralihan kepimpinan dapat berlangsung dalam suasana harmoni, sekali gus membolehkan Pemuda PBS memberi tumpuan kepada agenda lebih besar.
Beliau berharap barisan kepimpinan Pemuda PBS yang dibentuk kelak dapat bergerak sebagai satu pasukan yang kukuh, bersatu dan bersedia memperkasakan jentera parti menjelang PRU akan datang.
Pada masa sama, Dr. Rockey menyeru seluruh kepimpinan dan ahli Pemuda PBS di semua peringkat supaya merapatkan barisan serta memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan baharu bagi memastikan sayap Pemuda terus memainkan peranan berkesan dalam memperjuangkan aspirasi generasi muda Sabah.
“Perjuangan ini bukan tentang siapa yang memegang jawatan, tetapi tentang bagaimana kita bersama-sama membawa suara rakyat dan memastikan PBS terus menjadi pilihan utama rakyat Sabah.
“Marilah kita merapatkan saf dan bergerak sebagai satu pasukan. Kepentingan dan masa depan PBS harus sentiasa menjadi keutamaan kita bersama,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Christoper menghargai keputusan serta pengorbanan yang dibuat Dr. Rockey yang disifatkannya sebagai mencerminkan semangat kesatuan dan sikap mendahulukan kepentingan parti.
Beliau berkata, keputusan tersebut harus menjadi titik penyatuan semula seluruh barisan Pemuda selepas melalui proses pemilihan yang menyaksikan wujudnya pertembungan dalam kalangan kepimpinan.
Justeru, Dr. Christoper menyeru seluruh ahli parti, khususnya barisan Pemuda PBS, supaya kembali bersatu dan mengetepikan sebarang unsur perpecahan yang timbul akibat pertembungan sebelum ini.
Menurutnya, proses pemilihan parti tidak seharusnya meninggalkan jurang atau kelompok yang boleh melemahkan perjuangan PBS, sebaliknya semua pihak perlu kembali bergerak sebagai satu pasukan di bawah kepimpinan Presiden PBS.
“Tiada lagi Team Dr. Christoper atau Team Dr. Rockey, tetapi kita adalah Team Presiden PBS yang akan memimpin parti kita seterusnya,” tegas Dr. Christoper.
Beliau berkata, semangat kesatuan itu penting bagi memastikan Pemuda PBS kekal sebagai sebuah sayap yang kukuh dan mampu memainkan peranan utama dalam memperkasakan parti serta mempersiapkan jentera menghadapi cabaran politik akan datang.
































