Dzulkefly ketika menjawab pertanyaan media berkenaan dengan perkembangan Pusat Jantung Sabah.
KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan peruntukan segera hampir RM4.3 juta bagi menangani keperluan mendesak fasiliti dan peralatan perubatan di Hospital Tambunan, Hospital Ranau dan Hospital Kota Belud.
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kelulusan itu dibuat susulan lawatan beliau ketiga-tiga hospital berkenaan bagi melihat sendiri keadaan fasiliti serta keperluan perkhidmatan kesihatan di peringkat daerah.
“Di Hospital Tambunan, saya meluluskan peruntukan sebanyak RM988,000 untuk menaik taraf Jabatan Kecemasan, membaiki kantin yang rosak serta perolehan kelengkapan perubatan seperti ultrasounddan sebagainya.
“Berkaitan projek Jabatan Pesakit Luar (JPL) Tambunan yang terbengkalai selama sembilan tahun, kita telah memutuskan untuk membatalkan projek tersebut dan memberi fokus kepada pembinaan hospital baharu sebagai gantian.
“Di Hospital Ranau pula, peruntukan sebanyak RM1.279 juta telah saya luluskan segera bagi menyelesaikan isu-isu kritikal termasuk kemudahan triage, kantin, kapasiti transformer elektrik dan peralatan perubatan.
“Bagi Hospital Kota Belud, kita meluluskan RM2.01 juta bagi memperbaiki dan memperbesarkan Unit Pesakit Luar yang menampung sekitar 260 hingga 270 pesakit sehari,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sabah Bilangan 1 Tahun 2026 bersama Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Mojungki, di sini, pada Isnin.
Bagi Hospital Ranau, daripada RM1.279 juta yang diluluskan, RM950,000 disalurkan untuk membina kaunter saringan, membaiki kantin, menaik taraf kapasiti transformer elektrik bagi pemasangan pendingin hawa di tiga wad serta memperoleh tiga unit peti mayat baharu.
Sebanyak RM329,000 lagi diperuntukkan untuk peralatan perubatan penting. KKM turut meluluskan perolehan empat buah ambulans baharu.
“Semua yang kita luluskan segera itu adalah daripada peruntukan Menteri yang boleh saya serahkan dan luluskan terus untuk dilaksanakan.
“Semuanya akan dikendalikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah,” jelasnya.
Bagi Hospital Kota Belud, RM1 juta daripada peruntukan berkenaan adalah untuk menaik taraf bangunan JPL, RM510,000 bagi memantapkan kelengkapan Unit Pergigian dan RM500,000 untuk memperoleh mesin Mobile X-Ray baharu bagi menggantikan aset lama yang telah berusia 18 tahun.
Sementara itu, bagi Hospital Tambunan, kerja-kerja awal sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya bagi membolehkan KKM memohon butiran penuh cadangan pembinaan hospital baharu di bawah Rolling Plan 3 RMK-13.
Manakala bagi Hospital Ranau, KKM cenderung menaik taraf hospital sedia ada terlebih dahulu sambil melaksanakan kajian kebolehlaksanaan bagi menilai keperluan penambahbaikan di tapak berkenaan.






























