Dr. Janathan (depan) bersalaman dengan peserta perkhemahan.
KOTA MARUDU: Disiplin menabung dan pengurusan kewangan secara sistematik mampu membantu golongan muda membina masa depan kewangan yang lebih kukuh, kata Timbalan Pengerusi POIC Sabah, Dato’ Dr. Janathan Kandok.
Beliau yang juga penerima Anugerah Sastera Perdana Malaysia berkata, menyimpan wang bukan perkara mudah tanpa disiplin dan perancangan yang betul.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah motivasi dan literasi kewangan sempena Perkhemahan Integrasi Unit Beruniform Tahun 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek 2, di sini, pada 9 Ogos.
Mengambil semangat ketahanan fizikal di tapak perkhemahan, Dr. Janathan memetik kata-kata pejuang kemanusiaan Nelson Mandela, “Sentiasa kelihatan mustahil sehingga ia selesai.”
Beliau berkata, perkara sama berlaku apabila seseorang mula belajar menyimpan wang kerana pada awalnya ia kelihatan mustahil dan seolah-olah membataskan kehendak.
Namun, katanya, sejarah membuktikan pemimpin hebat dan individu berjaya bermula dengan satu ketetapan kecil, iaitu disiplin menabung hari ini untuk kekuatan masa depan.
Sambil membawa pelajar bernostalgia dengan kehidupan masa kecil yang serba sederhana, Dr. Janathan turut berkongsi pengalaman menerima wang saku sebanyak lima sen (Jaimis Sangkin) dan 20 sen (Solisu Adun) pada era 1960-an.
Beliau turut menceritakan pengalaman awal kerjayanya apabila menerima gaji asas RM220, selain pendapatan kerja lebih masa sebanyak RM800 sebulan kira-kira 50 tahun lalu.
Katanya, wang tersebut diurus dengan menyusun wang kertas di bawah tilam, berbekalkan impian besar untuk mengubah nasib.
Dr. Janathan berkata, tanpa perancangan kewangan yang betul, usaha mengumpul simpanan sebanyak RM10,000 sahaja boleh mengambil masa sehingga 20 tahun.
Bagi membantu pelajar mengurus kewangan secara lebih sistematik apabila memasuki alam pekerjaan kelak, beliau mencadangkan penggunaan beberapa akaun bank dengan fungsi berbeza.
Katanya, gaji utama boleh dimasukkan ke dalam satu akaun sebelum dipindahkan secara automatik ke akaun bank lain mengikut peratusan yang ditetapkan.
Antaranya, RHB untuk tabung kecemasan, Agrobank untuk sedekah, Bank Rakyat bagi perbelanjaan poket dan ASB khusus untuk pelaburan.
Sebagai kemuncak ceramah, beliau turut memberikan contoh unjuran kewangan berdasarkan kuasa faedah kompaun.
Menurutnya, sekiranya seseorang yang memasuki alam kerjaya memperoleh pendapatan sekitar RM1,500 sebulan dan menyimpan RM150 sebulan secara konsisten selama 60 tahun dalam ASB, pulangan terkumpul melalui faedah kompaun jangka panjang berupaya melebihi RM1.4 juta.
Program Perkhemahan Integrasi Unit Beruniform SMK Tandek 2 2026 diharap bukan sahaja membentuk jati diri pelajar, malah menjadi asas melahirkan generasi muda Kota Marudu yang mempunyai budaya menyimpan dan melabur, berdaya tahan serta berwawasan tinggi.
Hadir pada program itu ialah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Marudu, Amiluddin Majuki; Penolong Kanan Pentadbiran, Said Ambar; Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Rosminah Sait; Penolong Kanan Kokurikulum, Majawal Timbuong; Pengarah Program, Jeson Majimal; Prissla Jati; barisan guru penasihat, ketua bidang, kakitangan sekolah serta peserta perkhemahan.
Turut hadir pemimpin NGO dan masyarakat, Datin Justina Tuyundo, Singan Lingkubang, Magimbal Ibun, Helija Haris, Sakira Abd. Gafar, Fatimah Majingkal dan DM Herrynewr Jeson.
































