Peter Gibin
KOTA KINABALU: Setiap cadangan oleh mana-mana pihak berkaitan penambahan kuota bahan bakar bersubsidi khususnya kepada pengguna di Sabah wajar diberi perhatian serta pertimbangan oleh pihak berwajib.
Penasihat Persatuan Anak Negeri Sabah (Pansa), Peter Gibin berkata, penetapan kuota petrol dan diesel bersubsidi terutamanya di Negeri ini perlu dilaksanakan berdasarkan kepada jumlah penggunaan sebenar kumpulan sasar.
Beliau berkata, kuota 200 liter sebulan yang ditetapkan dalam pelaksanaan BUDI MADANI sekarang ini adalah tidak mencukupi terutama kepada penduduk di luar bandar yang sepatutnya menjadi penerima utama manfaat bahan bakar bersubsidi ini.
“Bagi penduduk luar bandar khususnya di kawasan yang jauh daripada mana-mana kemudahan seperti stesen minyak, penggunaan mereka lebih daripada kuota ditetapkan,” katanya yang menyifatkan jumlah kuota berkemungkinan agak bersesuaian mereka yang tinggal dan bekerja di sekitar bandar atau pekan dengan jarak perjalanan ulang-alik singkat.
Namun bagi mereka yang terpaksa menempuh jarak perjalanan jauh diburukkan lagi dengan keadaan jalan raya yang kurang baik, 200 liter minyak adalah tidak memadai apatah lagi jumlah berkenaan digabungkan untuk minyak petrol dan diesel.
Menyokong cadangan Menteri Pertanian, Perikatan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar baru-baru ini berhubung penambahbaikan pelaksanaan Program Budi Diesel di Sabah, Peter yang sering melawat kawasan pedalaman mengakui terdapat rungutan daripada penduduk berhubung perkara itu.
Menjelaskan kewajaran cadagannya itu, Jamawi menegaskan kuota subsidi sedia ada bagi golongan sasar membabitkan petani, penternak, penoreh getah serta pengusaha industri makanan di luar bandar tidak mencukupi.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar kuota petrol dan diesel bersubsidi untuk penduduk luar bandar di Sabah dinaikkan dengan memberi fokus kepada golongan terlibat.
Belau juga menegaskan, had kuota sedia ada tidak praktikal dan tidak mampu menampung keperluan harian sektor pertanian serta perikanan di Sabah.
Mengulas lanjut, Peter berkata, penduduk yang belum menerima kemudahan bekalan elektrik dan terpaksa bergantung kepada penggunaan generator turut terkesan.
Justeru ujar beliau, pihak berwajib perlu mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah dihadapi penduduk terlibat pada kadar segera.
Sebelum ini beberapa pemimpin turut menggesa Kerajaan Persekutuan menaikkan kuota subsidi diesel daripada 200 liter kepada 500 liter sebulan, antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah yang menyifatkan had ditetapkan sekarang ini terlalu sedikit untuk penduduk pedalaman.
Sementara itu, Presiden Upko yang juga Ahli Parlimen Penampang dan ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick turut mengeluarkan desakan supaya mekanisme kuota dan penyasaran subsidi disemak semula berdasarkan keperluan is rumah serta logistic di Sabah adalah lebih tinggi disebabkan faktor geografi dan keadaan jalan raya.
Antara lain beliau menegaskan bahawa Sabah, sebagai pengeluar utama minyak gas negara, wajar menikmati subsidi diesel sepenuhnya tanpa sebarang kekangan kuota yang membebankan rakyat.
Setakat ini, Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kewangan menyatakan kesediaan meneliti mekanisma bersesuaian untuk menambah baik dan menaikkan kuota subsidi diesel di kawasan pedalaman Sabah, susulan perbincangan bersama kerajaan Negeri bagi menampung keperluan geografi dan perjalanan jauh penduduk tempatan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan juga dipetik berkata, Kerajaan sentiasa terbuka menambah baik pelaksanaan subsidi bersasar bagi memastikan bantuan mencukupi untuk penduduk pedalaman yang bergantung kepada diesel.
































