KOTA KINABALU: Perasaan panik selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) bergerak secara tiba-tiba dipercayai menyebabkan seorang wanita berusia 66 tahun tersalah menekan pedal minyak sebelum kenderaan itu terbabas merempuh bangunan Kota Kinabalu International Airport (KKIA), di sini, 7 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner (ACP) Shahrudin Mat Husain berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 4.55 petang ketika pemandu berkenaan memberhentikan SUV di lorong kedua hadapan bangunan KKIA bagi menjemput anaknya.
Menurutnya, ketika hendak bertukar pemandu, wanita itu dipercayai terlupa meletakkan tuas gear pada kedudukan ‘P’ (park).
“Semasa cuba keluar dari kenderaan, SUV tersebut bergerak secara perlahan menyebabkan pemandu panik dan secara tidak sengaja menekan pedal minyak sehingga kenderaan meluncur laju ke hadapan,” katanya dalam kenyataan media.
Akibat kejadian, kenderaan berkenaan terlebih dahulu melanggar sebuah kenderaan lain sebelum terbabas merempuh pintu kaca bahagian pelepasan (Departure Hall) KKIA dan seterusnya melanggar sebuah tiang bangunan.
Shahrudin berkata, pemandu sempat keluar dari kenderaan sebelum pelanggaran berlaku, namun mengalami kecederaan ringan pada bahagian muka akibat terkena serpihan kaca.
“Pemandu telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu oleh ambulans KKIA untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 [LN 166/59] di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Shahrudin turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum meninggalkannya serta memandu dengan cermat dan berhati-hati bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.


































