Ewon bersama Redonah melawat pameran PROTUNe yang dipamerkan oleh syarikat-syarikat pelajar.
KOTA KINABALU: Program Tunas Niaga (PROTUNe) Peringkat Negeri Sabah 2025 merekodkan jumlah jualan keseluruhan melebihi RM1.4 juta sepanjang sembilan bulan pelaksanaannya, sekali gus membuktikan potensi besar pembangunan keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, syarikat-syarikat PROTUNe daripada sekolah yang menyertai program itu mencatat jualan keseluruhan sebanyak RM1,408,632.26 dengan keuntungan bersih RM380,098.41.
Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan kesungguhan, kreativiti dan komitmen para pelajar serta guru pembimbing dalam membangunkan syarikat sekolah masing-masing.
“Namun, kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui jumlah jualan atau keuntungan, tetapi pengalaman, keyakinan serta kemahiran kepimpinan, komunikasi, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan yang berjaya dibina sepanjang pelaksanaan program.
“Semoga pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh sepanjang tempoh ini dapat melahirkan usahawan baharu yang mampu bersaing serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan selaras dengan Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 dan Wawasan Sabah First,” katanya selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Konvensyen PROTUNe Peringkat Negeri Sabah 2025 di Suria 7 Ballroom, Suria Sabah, di sini, hari ini.
Program itu dianjurkan oleh Sedcovest Holdings Sdn. Bhd., anak syarikat SEDCO, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
Ewon berkata, Kerajaan Negeri menerusi kementeriannya (MINDET) terus menyokong pelaksanaan PROTUNe melalui peruntukan pembangunan keusahawanan yang disalurkan kepada Sedcovest bagi memastikan agenda pembangunan usahawan di peringkat sekolah dapat diteruskan.
Beliau berkata, daripada 45 sekolah yang menyertai program itu di seluruh Sabah, sebanyak 15 sekolah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir.
Menurutnya, statistik alumni PROTUNe turut menunjukkan impak positif program itu apabila 68 peratus melanjutkan pengajian, 21 peratus telah bekerja, sembilan peratus sedang mencari pekerjaan dan dua peratus memilih menceburi bidang keusahawanan.
“Statistik ini membuktikan PROTUNe bukan sahaja memperkenalkan keusahawanan, malah membentuk keyakinan diri dan kemahiran insaniah sebagai persediaan ke alam pengajian tinggi, pekerjaan atau perniagaan.
“Dalam ekonomi yang sentiasa berubah, kita memerlukan lebih ramai anak muda yang mampu mencipta peluang pekerjaan. Justeru, PROTUNe amat penting dalam melahirkan usahawan muda yang inovatif, berdaya tahan dan berdaya saing,” katanya.
Sebagai galakan kepada peserta, Ewon turut mengumumkan tambahan dana RM2,000 kepada setiap 15 sekolah finalis di bawah Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan Menteri MINDET.
Selain itu, beliau turut meluluskan dana tambahan RM10,000 di bawah tabung khas sama kepada syarikat sekolah yang menerima Anugerah PROTUNe 2025.
Sementara itu, Pengerusi Sedcovest Holdings, Datuk Redonah Bahanda berkata, PROTUNe yang dilaksanakan sejak 1997 terus menjadi wadah penting dalam membentuk generasi muda Sabah yang berdaya saing, kreatif dan berjiwa usahawan menerusi pendedahan awal kepada dunia perniagaan.
Katanya, sepanjang tempoh sembilan bulan pelaksanaan program, peserta diberi peluang mengendalikan syarikat masing-masing, membangunkan produk, mengurus pemasaran, menyediakan laporan tahunan serta membentangkan prestasi syarikat di hadapan panel penilai profesional.
“PROTUNe bukan sekadar pertandingan mencari pemenang, tetapi medan membentuk sahsiah, integriti, disiplin dan daya tahan pelajar agar mereka mampu menjadi pencipta peluang pekerjaan serta penyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata, Sabah kekal antara negeri yang meneruskan pelaksanaan PROTUNe walaupun program itu tidak lagi menerima peruntukan di peringkat Persekutuan, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh pendidikan keusahawanan.
Redonah berharap lebih banyak syarikat korporat dan pemain industri tampil menyokong PROTUNe melalui penajaan, bimbingan mentor, perkongsian kepakaran dan peluang pendedahan industri.
“Melahirkan generasi usahawan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak agar lebih ramai anak muda Sabah bersedia menjadi pemimpin ekonomi pada masa hadapan,” katanya.
Pada majlis itu, SMK Sepagaya, Lahad Datu muncul juara apabila memenangi Anugerah Syarikat PROTUNe Terbaik, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500 berserta piala dan sijil.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap MINDET, Moira David; Timbalan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO (Hal Ehwal Korporat dan Kewangan), Haji Azrul Haji Ahmad; Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Muddin Beting; dan Pengurus Besar Sedcovest Holdings, Yahyah Sidek.
































