Masidi menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian antara Sri Komputer dan Infor (Malaysia) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU: Kerjasama teknologi perlu menghasilkan peningkatan yang boleh diukur dari segi produktiviti, pembangunan kemahiran tempatan dan peluang pekerjaan supaya dapat menyumbang secara bermakna kepada ekonomi Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata, transformasi digital seharusnya menyelesaikan masalah operasi sebenar, meningkatkan prestasi organisasi serta mewujudkan nilai yang nyata, bukannya sekadar mengguna pakai teknologi tanpa matlamat yang jelas.
Beliau berkata, teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, analitik data dan automasi mampu membantu perniagaan di Sabah beroperasi dengan lebih cekap, mengurus kos, memperkukuh rantaian bekalan serta membuat keputusan yang lebih tepat berdasarkan maklumat.
Bagaimanapun, katanya, keberkesanan penggunaan teknologi perlu diukur berdasarkan peningkatan dalam produktiviti, tadbir urus, kualiti perkhidmatan dan daya tahan perniagaan.
Masidi berkata demikian ketika berucap pada majlis pemeteraian Memorandum Perjanjian antara Sri Komputer Sdn. Bhd. dan Infor (Malaysia) Sdn. Bhd. di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Masidi berkata, kerjasama antara penyedia teknologi antarabangsa dengan syarikat tempatan mampu menggabungkan kepakaran global dengan pengetahuan mengenai persekitaran operasi serta keperluan pelanggan di Sabah.
Beliau berkata, proses pendigitalan juga perlu disokong oleh aspek keselamatan siber, perlindungan data, ketelusan, akauntabiliti dan pengawasan manusia.
“Teknologi seharusnya memperkukuh pertimbangan yang baik, bukannya menggantikannya,” katanya.
Masidi turut menyeru supaya latihan, pemindahan pengetahuan dan pembangunan profesional diberikan penekanan bagi memastikan rakyat Sabah dapat mengambil bahagian dalam bidang teknikal, pengurusan dan inovasi yang mempunyai nilai lebih tinggi.
“Ekonomi digital yang mampan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kepakaran dari luar. Sabah mesti terus membangunkan tenaga profesional, usahawan teknologi dan penyedia penyelesaiannya sendiri,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan kerjasama itu akhirnya akan dinilai berdasarkan keupayaannya meningkatkan produktiviti, membangunkan bakat tempatan serta mewujudkan nilai berkekalan untuk Sabah.
































