Ewon Benedick
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited memastikan tiada usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Sabah tercicir daripada menikmati bantuan pembangunan perniagaan menerusi Program Bantuan SME-UP yang dilaksanakan secara berterusan sejak 2020.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, kementeriannya melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) sentiasa memastikan bantuan pembangunan keusahawanan disalurkan secara inklusif kepada PMKS di seluruh negeri, termasuk usahawan dan peniaga kecil yang sebelum ini belum pernah menerima bantuan Kerajaan Negeri.
Beliau berkata, Program Bantuan SME-UP menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan, pembungkusan dan pelabelan, pensijilan Halal dan MeSTI, pendaftaran cap dagangan serta mesin retort bagi membantu usahawan meningkatkan kapasiti pengeluaran dan daya saing produk.
“Pada tahun ini, DIDR telah melaksanakan Program Outreach di 13 daerah di Sabah sepanjang Mac hingga Mei dengan kerjasama persatuan usahawan, agensi kerajaan serta pelbagai platform media sosial bagi memastikan maklumat berkaitan bantuan kerajaan dapat disampaikan secara lebih meluas kepada usahawan tempatan.
“Sehingga kini, seramai 93 usahawan dari daerah Kota Belud telah menerima manfaat melalui Program Bantuan SME-UP, termasuk 17 usahawan dari DUN Tempasuk,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Ewon berkata, bantuan yang diberikan telah membantu usahawan menambah baik kualiti dan penjenamaan produk, memenuhi piawaian pensijilan serta meningkatkan kebolehpasaran produk mereka.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut memperluaskan peluang kepada lebih ramai usahawan mikro untuk memohon bantuan SME-UP tahun ini, termasuk peniaga kecil yang mempunyai lesen perniagaan sah dan telah beroperasi sekurang-kurangnya enam bulan.
“Langkah ini bertujuan memastikan lebih ramai usahawan PMKS di Sabah mendapat akses kepada bantuan pembangunan perniagaan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri, sekali gus meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya saing dan mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ewon berkata, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) ketika ini tidak mempunyai perancangan untuk membangunkan tapak niaga kekal baharu di Daerah Putatan.
Bagaimanapun, katanya, SEDCO sentiasa bersedia untuk bekerjasama sekiranya terdapat keperluan pada masa hadapan.
Menjawab pertanyaan ADUN Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya Ahmad Shah mengenai cadangan mewujudkan tapak niaga kekal yang lebih tersusun dan kondusif untuk peniaga tempatan di Putatan, Ewon berkata, daerah itu pada masa ini mempunyai lima tapak niaga sementara dan dua tapak niaga kekal yang diuruskan oleh Majlis Daerah Putatan.
“Berdasarkan maklumat yang diterima daripada Pejabat Daerah Putatan, daerah ini mempunyai lima tapak niaga sementara iaitu di Servay Putatan, BSN Putatan, Golden Centre Putatan, Petagas (Kampung Muhibbah) dan kawasan lapang berhampiran Restoran Zaitun.
“Selain itu, Putatan turut mempunyai dua tapak niaga kekal iaitu Pasar Tamu Putatan dan Pasar Kraftangan Putatan.
“Kesemua kemudahan tersebut disediakan dan diuruskan oleh Majlis Daerah Putatan bagi menyokong aktiviti perniagaan serta pembangunan ekonomi komuniti setempat,” katanya.
Ewon berkata, kementeriannya akan terus menambah baik pelaksanaan Program Bantuan SME-UP termasuk memperkukuh usaha promosi dan penyampaian maklumat supaya lebih ramai usahawan, khususnya peniaga kecil yang berpotensi, dapat memanfaatkan inisiatif kerajaan dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
































