Tarian Dusun Lotud. kredit: MySabah
TUARAN: Daerah Tuaran bakal menjadi tumpuan apabila Festival Mojumbak dan Mongigol-Sumayau Dusun Tuaran (FESMOD) P.170 Tuaran 2026 berlangsung selama tiga hari dari 24 hingga 26 Julai di Dewan Seri Sulaman dengan tema “Memperkasa Tradisi Dusun dan Memelihara Warisan Budaya.”
Festival anjuran Persatuan SEAMEX Sabah dengan kerjasama Kumpulan Kebudayaan Lopuson itu mendapat sokongan Jabatan Ketua Menteri Sabah dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), selain kerjasama pengamal seni budaya, persatuan kebudayaan, komuniti setempat serta pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
Penganjur dalam satu kenyataan berkata, festival berkenaan merupakan inisiatif penting dalam usaha memperkasa, memelihara, mendokumentasikan dan mempromosikan warisan budaya masyarakat Dusun, khususnya di Zon Parlimen P.170 Tuaran yang meliputi daerah Tuaran, Tamparuli, Kiulu dan Tenghilan.
Festival itu dijangka menghimpunkan ratusan peserta, penggiat seni budaya, pemimpin masyarakat, penyelidik, ahli akademik, pelajar, usahawan kraftangan, pengusaha makanan tradisional, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelancong serta pengunjung dari seluruh Sabah.
Menurut penganjur, FESMOD 2026 bukan sekadar medan pertandingan dan persembahan seni budaya, malah berfungsi sebagai platform pendidikan, penyelidikan, pendokumentasian, pemindahan ilmu serta promosi pelancongan budaya berteraskan warisan masyarakat Dusun.
Festival itu juga bertujuan memperkukuhkan jaringan kerjasama antara komuniti, institusi pendidikan, badan kebudayaan, sektor swasta dan agensi kerajaan dalam usaha memelihara Warisan Kebudayaan Tidak Ketara.
Penganjuran FESMOD merupakan kesinambungan kepada usaha pemuliharaan warisan budaya masyarakat Dusun yang dimulakan menerusi Bengkel Pemuliharaan Muzik dan Tarian Tradisi Dusun pada 2022, diikuti Bengkel Pemerkasaan Muzik dan Tarian Tradisi Dusun pada 6 dan 7 Jun lalu.
Melalui program berkenaan, pelbagai aktiviti penyelidikan lapangan, pendokumentasian, latihan, pembangunan bakat dan pemindahan ilmu telah dilaksanakan bagi memastikan seni muzik tradisi seperti Mojumbak, tarian Mongigol, Sumayau, Botumba Kinodiu-Kondiu serta pelbagai amalan budaya masyarakat Dusun terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda.
Festival itu juga lahir daripada aspirasi isteri Ketua Menteri, Datin Seri Hajah Juliah Salag yang sentiasa komited memperjuangkan kelangsungan seni budaya tradisional masyarakat Dusun.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai program telah disusun termasuk Pertandingan Muzik Tradisi Dusun (Mojumbak), Pertandingan Tarian Tradisi Dusun dan Pertandingan Tarian Kreasi Baharu Dusun peringkat Zon Parlimen P.170 Tuaran.
Penyertaan pertandingan dibuka khusus kepada komuniti etnik Dusun dari daerah Tuaran, Tamparuli, Kiulu dan Tenghilan.
Selain pertandingan utama, pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan ensembel gong tradisional dan moden, persembahan kulintangan, demonstrasi kraftangan dan makanan tradisional Dusun, pameran warisan budaya, pameran agensi kerajaan dan swasta, jualan produk kraftangan dan industri kreatif, jualan makanan tradisional, persembahan artis jemputan serta pelbagai aktiviti interaktif untuk seisi keluarga.
Majlis perasmian rasmi festival akan diadakan pada 25 Julai jam 7 malam dan disempurnakan oleh Datuk Mohammad Ghazali Hajiji.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah pula dijadual berlangsung pada 26 Julai jam 12.30 tengah hari dan dijangka disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Majlis itu akan menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan serta sijil penghargaan kepada peserta, pengadil, penaja, rakan strategik dan semua pihak yang menjayakan festival berkenaan.
Penganjur berkata, FESMOD diharapkan menjadi pemangkin kepada usaha memperkasa seni dan budaya masyarakat Dusun, mengukuhkan perpaduan komuniti serta menjadikan Tuaran sebagai hab pemeliharaan dan pembangunan warisan budaya yang diiktiraf di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Festival itu juga dijangka merangsang pembangunan ekonomi komuniti melalui sektor pelancongan budaya, industri kreatif, perusahaan kraftangan, perusahaan makanan tradisional dan keusahawanan tempatan.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan festival yang menawarkan kemasukan percuma serta peluang menyertai cabutan tiket bertuah sepanjang program berlangsung.
































