Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (ASP) 2026 yang melibatkan peruntukan tambahan RM1.612 bilion tidak seharusnya ditafsirkan sebagai kegagalan atau kelemahan dalam perancangan Belanjawan Negeri 2026, sebaliknya mencerminkan ketelusan dan kebertanggungjawaban Kerajaan Sabah dalam mengurus kewangan negeri.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ASP merupakan mekanisme kewangan yang diperuntukkan di bawah tatacara pengurusan kewangan kerajaan bagi membolehkan keperluan perbelanjaan yang tidak dapat ditentukan sepenuhnya semasa penyediaan belanjawan tahunan, atau keperluan baharu yang timbul selepas belanjawan diluluskan, dipertimbangkan secara teratur dan telus.
“ASP yang dibentangkan ini mencerminkan keupayaan kerajaan untuk bertindak secara responsif dan bertanggungjawab terhadap perubahan keperluan semasa tanpa mengetepikan prinsip disiplin fiskal, akauntabiliti dan tadbir urus kewangan yang baik,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Masidi berkata, setiap permohonan tambahan perlu melalui proses penelitian dan penilaian berdasarkan keperluan sebenar, prestasi perbelanjaan, kemampuan kewangan kerajaan serta kepentingannya kepada penyampaian perkhidmatan dan kesejahteraan rakyat.
Masidi turut menjelaskan bahawa sebahagian besar peruntukan tambahan yang dibangkitkan dalam Dewan, khususnya RM856 juta bagi caruman kepada kumpulan wang berkanun, sebenarnya melibatkan pelarasan perakaunan dan tidak membabitkan aliran tunai keluar kerajaan.
“Tujuan asas yang paling penting adalah apa yang dipanggil sebagai pelarasan perakaunan. Itu bermakna ia berkaitan dengan ketepatan apa yang kita lakukan.
“Dan itulah sebabnya kita berada di sini. Sebab kita mahu seluruh transaksi menjadi legal mengikut peraturan undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri menggunakan sistem yang sama sejak berpuluh-puluh tahun lalu dan rekod kewangan Sabah tidak pernah menerima teguran daripada Jabatan Audit Negara selama lebih dua dekad.
“Kita telah menggunakan sistem yang sama lebih daripada berpuluh-puluh tahun. Sistem yang sama yang kita gunakan sejak zaman berzaman.
“Sabah telah menerima teguran sifar sejak lebih daripada 20 tahun. Akaun kita tidak pernah ditegur oleh Jabatan Audit Negara. Jadi kita buat sesuatu yang betul,” katanya.
Menurutnya, RM856 juta yang diperuntukkan bagi caruman kepada kumpulan wang berkanun melibatkan RM700 juta kepada Kumpulan Wang Pembangunan, RM66 juta kepada Tabung Amanah Kerajaan Negeri dan RM90 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pengendalian dan Penyelenggaraan Jalan Raya dan Jambatan.
Masidi berkata, caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan dibuat bagi mengurangkan defisit Akaun Pembangunan yang telah wujud sejak berpuluh-puluh tahun dan sering mendapat teguran Jabatan Audit Negara supaya dikurangkan.
Beliau menjelaskan defisit Akaun Pembangunan adalah berbeza daripada defisit projek pembangunan dan tidak bermaksud projek pembangunan negeri mengalami kerugian atau kekurangan dana.
Menyentuh pelarasan melibatkan Sabah Development Bank Berhad (SDBank), beliau berkata, Kerajaan Negeri memilih untuk bersikap terbuka dalam menjelaskan langkah menukar sebahagian simpanan tetap kepada Redeemable Preference Shares (RPS).
“Kalau kita tidak transparen, marah. Sekarang kita transparen pun salah. Mana yang kita mahu?” katanya sebagai respons kepada perkara dibangkitkan oleh ADUN Senallang, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Masidi menjelaskan, RM210 juta di bawah peruntukan pelaburan ekuiti melibatkan RM200 juta kepada SDBank dan RM10 juta kepada POIC Sabah Sdn. Bhd.
Menurutnya, RM200 juta kepada SDBank bukan suntikan dana baharu tetapi pelarasan perakaunan secara berfasa yang menukar simpanan tetap kerajaan kepada RPS bagi memperkukuh kedudukan modal bank itu.
Beliau berkata, langkah itu membolehkan Kerajaan berpotensi memperoleh pulangan dividen 3.15 peratus setahun berbanding kadar faedah 2.95 peratus yang diterima melalui simpanan tetap sebelum ini.
Sementara itu, Masidi berkata, Kerajaan Negeri turut mengambil perhatian serius terhadap isu yang dibangkitkan pelbagai pihak berhubung pelaksanaan subsidi diesel bersasar BUDI MADANI di Sabah.
Katanya, sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri bagi meneliti cadangan balas serta penambahbaikan terhadap mekanisme subsidi diesel tersebut.
“Kerajaan Negeri telah membentuk satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri bagi tujuan meneliti semua cadangan balas dan penambahbaikan pelaksanaan mekanisme baharu ini.
“Jawatankuasa ini melibatkan agensi-agensi daripada negeri dan Persekutuan bagi memastikan penyesuaian mekanisme subsidi diesel bersasar mengikut keperluan tempatan,” katanya.
Masidi turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri terus mengamalkan prinsip fiskal berhemat berasaskan konsep “Spend what you have, not what you don’t have”, yang membantu meningkatkan rizab negeri daripada sekitar RM70 juta pada 1998 kepada RM7.6 bilion pada akhir 2025.
Beliau berkata, walaupun keperluan sebenar perbelanjaan bekalan dan pembangunan bagi 2026 dianggarkan RM7.97 bilion, kerajaan hanya membelanjakan mengikut kemampuan hasil negeri yang diunjurkan sekitar RM6.4 bilion bagi memastikan lebihan belanjawan dan rizab negeri terus diperkukuh.
“Hasrat Kerajaan Sabah adalah jelas, iaitu membina sebuah kerajaan negeri yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, berdikari dan berdaya tahan supaya pembangunan Sabah dapat dilaksanakan secara mampan tanpa terlalu bergantung kepada ihsan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
DUN Sabah telah meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (ASP) 2026 itu hari ini.
































