Isnin Aliasnih
KOTA KINABALU: Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) berjaya mengukur sebanyak 25,591 lot tanah melibatkan keluasan 33,891.181 hektar di seluruh Sabah bagi tempoh Januari 2020 hingga Jun 2026, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih.
Beliau berkata, program itu merupakan inisiatif Kerajaan bagi mempercepatkan kerja-kerja pengukuran tanah Anak Negeri yang telah diluluskan, sekali gus memudahkan proses pengeluaran hak milik tanah kepada pemohon yang layak.
“Bagi tempoh Januari 2020 hingga Jun 2026, Program PANTAS telah menerima peruntukan sebanyak RM83 juta daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) bagi tempoh 2026 hingga 2030 pula, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta, dengan RM1 juta telah disalurkan kepada Jabatan Tanah dan Ukur pada tahun ini bagi pelaksanaan program berkenaan,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Usukan, Isnaraissah Munirah Majilis pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Isnin berkata, sebanyak 53 pasukan juruukur telah ditugaskan untuk menjalankan kerja-kerja pengukuran tanah di seluruh daerah di Sabah.
Bagi daerah Kota Belud, katanya, empat pasukan juruukur telah ditugaskan di bawah Program PANTAS dan berjaya mengukur sebanyak 5,347 lot melibatkan keluasan 2,998.590 hektar dalam tempoh sama.
Beliau turut memaklumkan bahawa jumlah permohonan tanah yang masih dalam tindakan di peringkat pejabat tanah daerah di seluruh Sabah setakat 30 Jun 2026 adalah sebanyak 26,808 permohonan.
Katanya, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur Sabah sentiasa berusaha mempercepatkan pemprosesan permohonan tanah dan pengeluaran geran tanah kepada pemohon yang layak.
“Antara langkah yang sedang dan akan terus dilaksanakan termasuk memperkukuh pemantauan permohonan tanah di setiap peringkat pemprosesan serta mempercepatkan tindakan pengukuran bagi permohonan yang telah diluluskan melalui program pengukuran tanah secara sistematik dan penggunaan peralatan ukur moden.
“Selain itu, penggunaan sistem pendigitalan jabatan turut diperkasakan bagi meningkatkan kecekapan pemprosesan serta urusan berkaitan pengeluaran geran tanah,” katanya.
Menurut beliau, tempoh penyelesaian sesuatu permohonan tanah bergantung kepada beberapa faktor termasuk status tanah yang dipohon, isu pertindihan permohonan, keperluan siasatan dan semakan teknikal, kekangan tenaga kerja untuk pengukuran serta semakan kerja ukur, selain pematuhan kepada Ordinan Tanah Sabah Bab 68 dan dasar Kerajaan Negeri yang berkuat kuasa.
Bagi mengatasi kekangan tenaga kerja, Isnin berkata, Jabatan Tanah dan Ukur sedang mengambil langkah mengisi 30 jawatan Penolong Juruukur Gred J5 yang kini dalam proses pengiklanan untuk lantikan baharu.
“Pengisian jawatan ini dijangka dapat menambah kapasiti tenaga teknikal jabatan, khususnya dalam mempercepatkan kerja pengukuran tanah di seluruh Sabah.
“Kerajaan Negeri kekal komited untuk mempercepatkan penyelesaian permohonan tanah dan pengeluaran geran Anak Negeri kepada rakyat yang layak secara teratur, telus dan berlandaskan undang-undang,” katanya.
Sementara itu, menjawab isu berkaitan DUN Tamparuli, beliau berkata, sebanyak 822 permohonan tanah masih dalam peringkat mendapatkan ulasan status kesesuaian tanah serta pemeriksaan kawasan sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah (LUC) Tuaran.
Selain itu, sebanyak 341 permohonan tanah yang telah diluluskan sedang menunggu tindakan pengukuran, manakala 219 permohonan yang telah selesai diukur kini dalam proses pemeriksaan pelan ukur dan penyediaan draf geran tanah.
































