KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah meluluskan tiga program utama bagi menaik taraf jalan-jalan yang masih belum berturap di seluruh Sabah, di samping meneruskan pelaksanaan beberapa projek infrastruktur utama termasuk pembinaan semula Jambatan Sungai Damit dan baik pulih Jambatan Low Level Crossing Tamparuli.
Menurut Kementerian Kerja Raya dan Utiliti (KKRU), sehingga kini terdapat 3,491 kilometer jalan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah yang masih belum diturap.
“Daripada jumlah tersebut, 3,296 kilometer merupakan jalan berpermukaan kelikir (gravel), manakala 195 kilometer lagi merupakan jalan tanah (earth),” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Menurut KKRU, tiga program yang telah diluluskan bagi menangani isu tersebut ialah Projek Pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), program menaik taraf jalan-jalan SRT2 dan SRT3 JKR serta Non Qualified Road (NQR) pihak berkuasa tempatan selama 10 tahun, dan program menaik taraf jalan berkelikir atau NQR di seluruh Sabah di bawah JKR selama tiga tahun.
Dalam perkembangan berkaitan, KKRU memaklumkan pembinaan semula Jambatan Sungai Damit di Tuaran telah bermula pada 10 Februari 2026 dan dijangka siap sepenuhnya pada 9 Ogos 2027.
Menurut kementerian itu, kerja semasa di tapak melibatkan pembukaan parapet besi, lampu di atas jambatan dan lantai konkrit, manakala penyediaan struktur besi utama sedang giat dilaksanakan di kilang.
Sementara itu, kerja baik pulih Jambatan Low Level Crossing Tamparuli kini sedang dilaksanakan dan dijadualkan siap sepenuhnya pada penghujung September 2026.
“Jambatan itu dijangka dibuka semula kepada pengguna pada awal Oktober 2026,” kata KKRU.
Mengenai projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, kementerian itu berkata, jajaran Bulatan Berungis ke Tebobon di bawah Pakej Kerja WP8 dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2028.
Bagaimanapun, sebahagian jajaran dari Petronas Tebobon hingga ke Simpang Norowot dijangka dibuka kepada lalu lintas lebih awal pada tahun ini, tertakluk kepada penyempurnaan kerja pembinaan dan kelulusan Pegawai Penguasa.
KKRU turut membentangkan status keseluruhan projek Pan Borneo Sabah setakat Jun 2026, dengan Pakej Fasa 1A mencatat kemajuan 88.14 peratus dan mendahului jadual sebanyak 11.37 peratus.
Pakej Kerja 9 (WP09) pula mencatat kemajuan 30.30 peratus, manakala Pakej Fasa 1B mencapai 20.98 peratus, dengan kedua-duanya berada pada landasan jadual yang ditetapkan.
“Kerajaan komited untuk memastikan projek ini dapat disiapkan mengikut perancangan serta terus memantau kemajuan pelaksanaannya bagi meminimumkan sebarang kelewatan.
“Ini bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat secepat mungkin,” menurut kementerian itu.
































