Ben Chong
KOTA KINABALU: Kutipan Cukai Jualan Negeri (CJN) Sabah mencecah RM1.387 juta setakat 30 Jun 2026, bersamaan 55 peratus daripada anggaran hasil bagi tahun ini, dengan sektor petroleum dan minyak kelapa sawit terus menjadi penyumbang utama kepada hasil negeri.
Pembantu Menteri Kewangan I, Datuk Ben Chong berkata, berdasarkan rekod Kementerian Kewangan Negeri, kutipan terbesar diperoleh daripada produk petroleum berjumlah RM679.45 juta.
Beliau berkata, kutipan daripada minyak kelapa sawit termasuk biojisim kelapa sawit pula berjumlah RM703.55 juta, manakala komoditi perikanan menyumbang RM4.22 juta.
Menurutnya, sektor perhutanan tidak tertakluk kepada pengenaan Cukai Jualan Negeri pada masa ini.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri menjangkakan kutipan CJN bagi tahun 2026 akan melepasi unjuran asal berikutan peningkatan harga minyak sawit mentah dan petroleum.
“Sehubungan itu, unjuran hasil telah disemak daripada RM2.614 bilion kepada RM2.792 bilion, atau peningkatan kira-kira tujuh peratus walaupun ekonomi global masih berdepan ketidaktentuan,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Chong berkata, hasil CJN daripada produk petroleum dijangka meningkat daripada RM1.228 bilion kepada RM1.329 bilion, manakala kutipan daripada minyak sawit mentah diunjurkan meningkat daripada RM1.309 bilion kepada RM1.380 bilion.
Bagaimanapun, katanya, Kerajaan mengakui beberapa cabaran masih perlu dihadapi, termasuk penurunan pengeluaran minyak sawit akibat program penanaman semula dan faktor cuaca.
Selain itu, penyusutan pengeluaran petroleum berikutan kematangan sebahagian besar medan minyak di Sabah turut memberi kesan kepada hasil kutipan.
Dalam pada itu, Kerajaan menegaskan pendekatan Cukai Jualan Negeri bukan sekadar bertujuan meningkatkan hasil negeri, sebaliknya sebagai instrumen untuk menggalakkan pembangunan industri tempatan, memperkukuh rantaian nilai domestik dan mengurangkan kebergantungan kepada eksport bahan mentah tanpa nilai tambah.
Kerajaan turut memberi jaminan bahawa dasar percukaian negeri akan terus dilaksanakan secara strategik bagi memastikan hasil negeri dapat diperkukuh tanpa menjejaskan daya saing industri, sekali gus menyokong agenda pembangunan ekonomi Sabah secara mampan.






























