Rubin Balang
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sedang mengambil langkah menyediakan peruntukan baharu bagi membina semula Jambatan Sungai Molout di Kampung Bayag, Ranau yang mengalami kerosakan teruk akibat hakisan selepas hujan lebat tahun lalu, dengan kos keseluruhan projek kini dianggarkan mencecah RM19 juta.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Rubin Balang berkata, berdasarkan maklumat Jabatan Kerja Raya (JKR), jambatan di KM1.600 Jalan Gaur Bayag Kitaie mengalami kerosakan serius pada struktur penghadang (abutment) akibat hakisan yang berpunca daripada hujan lebat pada 7 September 2025.
Beliau berkata, sebelum ini Kementerian Kewangan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM4.94 juta berdasarkan anggaran awal yang dikemukakan oleh Pejabat Daerah Ranau.
“Bagaimanapun, hasil penilaian teknikal Jabatan Kerja Raya Sabah mendapati jumlah tersebut tidak mencukupi untuk melaksanakan pembinaan semula jambatan sepanjang 60 meter yang merangkumi laluan dua hala serta pembinaan struktur perlindungan tebing sungai.
“Kos sebenar yang diperlukan bagi pembinaan semula jambatan ini dianggarkan sebanyak RM19 juta,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Paginatan, Datuk Rusdin @ Musidi Riman pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Rubin berkata, Jabatan Kerja Raya Sabah kini sedang menyediakan justifikasi teknikal serta permohonan kelulusan kos siling baharu untuk dikemukakan kepada Kementerian Kewangan Negeri Sabah sebelum projek berkenaan dapat diteruskan.
Beliau turut menyarankan ADUN Paginatan supaya berhubung terus dengan Jabatan Kerja Raya bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai perkembangan projek tersebut.
Isu pembinaan semula jambatan itu dibangkitkan oleh Rusdin yang turut meminta penjelasan mengenai bilakah pembinaan akan dimulakan serta sama ada kerajaan mempunyai perancangan membina jalan atau laluan alternatif sementara menunggu jambatan baharu siap.
Jambatan Sungai Molout merupakan laluan penting yang menghubungkan Kampung Bayag, Togoyog, Kitaie dan beberapa kawasan sekitarnya.
Pembinaan semula jambatan itu dijangka dapat memulihkan hubungan pengangkutan penduduk, memudahkan urusan harian serta memperkukuh akses kepada kemudahan asas dan aktiviti ekonomi di kawasan luar bandar Ranau.
































