Hajiji (duduk depan, kanan) bersama Timbalan-timbalan Ketua Menteri dan Pembantu-pembantu Menteri di persidangan DUN Sabah hari ini.
KOTA KINABALU: Sabah menyasarkan untuk mencapai 50 peratus campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) dalam penjanaan tenaga negeri menjelang 2035 menerusi pelaksanaan pelbagai projek strategik di bawah Pelan Induk Tenaga Negeri, Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 (SE-RAMP 2040).
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, bagi tempoh sehingga 2030, fokus Kerajaan Negeri adalah meningkatkan kapasiti TBB secara berperingkat melalui pembangunan tenaga solar berskala besar, hidroelektrik, tenaga angin, biojisim serta teknologi penyimpanan tenaga bagi memastikan kestabilan sistem grid.
“Kerajaan Negeri melalui pelaksanaan inisiatif strategik berkaitan tenaga boleh baharu di bawah SE-RAMP 2040 telah menetapkan hala tuju yang jelas untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu dalam campuran kapasiti penjanaan negeri, dengan sasaran mencapai 50 peratus menjelang tahun 2035,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Sook, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Hajiji berkata, kapasiti tenaga boleh baharu di Sabah ketika ini adalah sekitar 307 megawatt (MW), bersamaan kira-kira 16 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan negeri.
Bagi meningkatkan kapasiti tersebut, beliau berkata beberapa projek strategik sedang dan akan dilaksanakan.
Antaranya ialah Projek Solar Berskala Besar (LSS) berjumlah 450MW yang merangkumi 200MW yang kini dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka siap pada penghujung 2026 hingga awal 2027, serta tambahan 250MW yang sedang melalui proses bidaan dan disasarkan siap pada 2028.
Selain itu, Projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 200MW/400 megawatt jam kini dalam proses bidaan dan dijangka siap pada 2028.
Hajiji berkata, Sabah turut merancang membangunkan projek penjanaan tenaga angin berkapasiti 100MW yang dijangka siap pada 2029.
Beliau berkata, dua projek hidroelektrik utama, iaitu Projek Hidroelektrik Upper Padas berkapasiti 187MW dan Projek Hidroelektrik Oriole Padas berkapasiti 162MW, dijangka siap pada 2030.
“Dengan pelaksanaan projek-projek ini secara berfasa, kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu di Sabah dijangka meningkat kepada sekitar 1,200MW menjelang tahun 2030, bersamaan kira-kira 37 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan negeri.
“Kerajaan Negeri yakin sasaran 50 peratus pada tahun 2035 dapat dicapai melalui projek-projek tenaga boleh baharu yang telah dikenal pasti sambil memastikan bekalan elektrik Sabah kekal mencukupi, stabil, berdaya harap dan mampu milik selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negeri,” katanya.


































