Dr. Joachim Gunsalam
KOTA KINABALU: Pengalihan utiliti termasuk pemindahan tiang elektrik merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, bagaimanapun proses pengalihan utiliti bukan hanya melibatkan pemindahan tiang serta aset elektrik, tetapi turut membabitkan kabel telekomunikasi dan aset utiliti lain yang berada dalam jajaran pembinaan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Dilantik, Datuk Ir. Chin Shu Ying pada persidangan DUN Sabah hari ini.
Dr. Joachim berkata, pengalihan utiliti merupakan komponen kritikal kerana kerja-kerja pembinaan tidak dapat dilaksanakan di kawasan yang masih mempunyai utiliti sedia ada atas faktor keselamatan, risiko gangguan bekalan serta kemungkinan kerosakan kepada infrastruktur utiliti.
“Utiliti perlu dialihkan terlebih dahulu sebelum kerja-kerja pembinaan dapat diteruskan.
“Proses pengalihan utiliti bukan sekadar melibatkan pemindahan aset, malah merangkumi pengesahan kedudukan utiliti, penyediaan reka bentuk, kelulusan teknikal, penyediaan koridor utiliti, penyelarasan dengan pemilik utiliti serta pelaksanaan kerja-kerja pengalihan,” katanya.
Beliau berkata, proses itu memerlukan koordinasi yang rapi antara semua pihak bagi memastikan pengalihan dapat dilaksanakan dengan selamat dan teratur tanpa menjejaskan kesinambungan perkhidmatan kepada pengguna.
Katanya, faktor lain yang turut mempengaruhi kemajuan projek termasuk pengambilan tanah, keadaan geoteknik di lokasi tertentu, penyelesaian isu teknikal di tapak serta prestasi pelaksanaan kontraktor mengikut pakej masing-masing.
Bagi menangani isu tersebut, katanya, Kerajaan telah memperkukuh mekanisme penyelarasan melalui Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo serta mesyuarat penyelarasan berkala di peringkat tapak.
Menurut beliau, isu kritikal yang memerlukan keputusan dasar turut dibawa ke peringkat pengurusan tertinggi melibatkan Kementerian Kerja Raya Persekutuan, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan Persekutuan serta kementeriannya bagi mempercepatkan proses penyelesaian dan mengurangkan impak terhadap pelaksanaan projek.
“Sebagai langkah penambahbaikan bagi pelaksanaan projek infrastruktur pada masa hadapan, kerajaan memberi penekanan kepada kerja-kerja awalan khususnya penyediaan reka bentuk terperinci, pengambilan tanah dan pengalihan utiliti sebelum projek pembinaan dimulakan.
“Pendekatan ini membolehkan isu pelaksanaan dikenal pasti dan diselesaikan lebih awal sekali gus mengurangkan risiko kelewatan semasa fasa pembinaan,” katanya.
Dr. Joachim berkata, Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan setiap pakej Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah secara berterusan bagi memastikan projek itu dapat disiapkan dengan teratur, berkualiti serta memberi manfaat kepada rakyat dan pembangunan negeri.


































