Wilfred Madius Tangau
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menggesa Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pemberian pendidikan tinggi percuma khusus kepada anak-anak Sabah yang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) di negeri ini, selain mempercepatkan pelaksanaan beberapa projek pendidikan utama di Tuaran.
Cadangan mengenai pendidikan percuma itu dibangkitkan Madius menerusi soalan bertulis pada Persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, dengan meminta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mempertimbangkan inisiatif bantuan yuran pengajian percuma untuk pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian melalui sistem Unit Pusat Universiti (UPU) di IPTA Sabah.
Menurut beliau, Sabah masih berdepan cabaran jurang pembangunan, kadar kemiskinan yang tinggi serta kekurangan tenaga profesional tempatan dalam pelbagai sektor strategik.
“Kerajaan perlu mengambil langkah khusus untuk anak-anak Sabah,” katanya.
Dalam jawapan bertulis, KPT memaklumkan Kerajaan sentiasa komited memastikan akses kepada pendidikan tinggi dapat dinikmati oleh semua rakyat yang berkelayakan tanpa mengira latar belakang sosioekonomi atau lokasi.
Menurut kementerian itu, pendekatan penyediaan bantuan pendidikan tinggi pada masa ini berasaskan keperluan sosioekonomi dan kumpulan sasar bagi memastikan bantuan disalurkan secara adil, inklusif dan mampan.
KPT turut menjelaskan bahawa melalui Belanjawan 2026, Kerajaan memperkenalkan inisiatif pembiayaan pendidikan tanpa bayaran balik menerusi Biasiswa Anak eKasih PTPTN (Baek PTPTN) yang disasarkan kepada lebih 10,000 pelajar daripada keluarga miskin tegar.
“Usaha memperkukuh akses pendidikan tinggi akan terus dilaksanakan selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035,” menurut kementerian itu.
Mengulas penjelasan berkenaan, Madius yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, beliau menyambut baik langkah Kerajaan, namun berharap keperluan pendidikan percuma khusus untuk anak Sabah dapat dipertimbangkan.
“Daripada 10 daerah termiskin di Malaysia, lapan daripadanya terletak di Sabah. Fakta ini sepatutnya cukup menjadi asas kukuh untuk Kerajaan memberi keutamaan khusus kepada anak Sabah dalam soal akses pendidikan tinggi.
“Dan ini masih belum mengambil kira tentang hak 40 peratus hasil bersih yang dikutip Kerajaan Persekutuan dari Sabah seperti yang termaktub dalam Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Ke-10 Perlembagaan Persekutuan yang masih belum dibayar sehingga kini.
“Oleh itu adalah wajar kerajaan pusat memberikan pendidikan percuma kepada anak-anak Sabah yang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi dalam Sabah sendiri sebagai salah satu bentuk keadilan kepada rakyat negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Madius turut terus membangkitkan isu pembangunan pendidikan di Tuaran menerusi sesi soalan bertulis di Dewan Rakyat dengan meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan status pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabalu dan SMK Laya-Laya.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai status pembinaan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) Tuaran, Sekolah Seni Malaysia Sabah serta Pusat PERMATA Kurnia Negeri Sabah yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.
Menurut KPM, projek pembinaan baharu SMK Nabalu yang melibatkan 18 bilik darjah telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) Rolling Plan 3 pada tahun 2023 dan kini berada pada peringkat prabina.
Kementerian berkata, projek itu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia menggunakan kaedah Reka dan Bina.
Bagi SMK Laya-Laya, projek pembinaan baharu yang mengandungi 36 bilik darjah serta kemudahan lain mengikut piawaian telah diluluskan di bawah RMKe-12 Rolling Plan 4 pada tahun 2024 dan turut berada pada peringkat prabina.
KPM turut memaklumkan bahawa pembinaan SMPKV Tuaran dan Sekolah Seni Malaysia Sabah di Kampung Laya-Laya telah diluluskan di bawah RMKe-12 Rolling Plan 5 pada tahun 2025.
“Kedua-dua projek itu dilaksanakan oleh JKR Malaysia menggunakan kaedah Reka dan Bina dan kini berada pada peringkat prabina.
“Bagi Pusat PERMATA Kurnia Negeri Sabah pula, projek itu dilaksanakan oleh JKR Sabah secara kaedah konvensional perunding dan turut berada pada peringkat prabina,” menurut kementerian itu.
Madius berharap semua projek berkenaan dapat dipercepatkan bagi memastikan pelajar di Tuaran dapat menikmati kemudahan pembelajaran yang lebih baik.
“Saya akan terus memantau dan konsisten memperjuangkan perkara ini di Parlimen Dewan Rakyat bagi memastikan segala projek pembangunan ini dapat disiapkan dengan jayanya,” katanya.


































