Simpang keluar Jalan Keningau-Apin Apin
KENINGAU: Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor menggesa pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan segera bagi menangani isu keselamatan jalan raya yang semakin membimbangkan di beberapa lokasi sepanjang Jalan Keningau-Apin Apin, khususnya di kawasan simpang keluar dan masuk yang dikenal pasti berisiko tinggi.
Pengerusinya, Haji Yazid Mohd. Hasnan Tawik @ Charles berkata, kenderaan yang diletakkan di bahu jalan berhampiran simpang telah menjejaskan jarak penglihatan pemandu, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya.
Beliau berkata, keadaan itu menyukarkan pemandu yang ingin keluar dari simpang untuk melihat kenderaan yang sedang melalui jalan utama, manakala pengguna jalan utama pula tidak dapat mengesan dengan jelas kenderaan yang keluar dari laluan simpang.
“Situasi ini bukan sahaja membahayakan pengguna jalan raya, malah berpotensi mengakibatkan kemalangan yang boleh meragut nyawa sekiranya tidak ditangani segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kebimbangan itu berasas apabila satu kemalangan membabitkan dua kenderaan dilaporkan berlaku pagi tadi di kawasan berkenaan, yang dipercayai berpunca daripada faktor penglihatan terhad akibat kenderaan yang diletakkan berhampiran simpang jalan.
Katanya, insiden itu seharusnya menjadi peringatan kepada semua pihak bahawa aspek keselamatan jalan raya tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan tindakan proaktif daripada agensi berkaitan.
Sehubungan itu, persatuan berkenaan menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya bekerjasama melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan bagi mengurangkan risiko kemalangan.
Antara cadangan yang dikemukakan termasuk penguatkuasaan larangan meletakkan kenderaan di bahu jalan dan kawasan berhampiran simpang, pemasangan papan tanda larangan parkir serta papan tanda amaran seperti “Kurangkan Kelajuan” dan “Kawasan Kerap Kemalangan”, selain mewujudkan garisan kuning atau zon larangan parkir di lokasi berisiko.
Selain itu, pihak berkuasa turut disaran menambah baik pencahayaan dan jarak penglihatan di kawasan simpang, menjalankan kajian lalu lintas bagi menilai keperluan pemasangan lampu isyarat trafik serta mempertimbangkan pembinaan bulatan (roundabout) sekiranya didapati lebih sesuai untuk mengurangkan risiko kemalangan dan melancarkan aliran trafik.
Persatuan itu juga mencadangkan agar rondaan dan penguatkuasaan terhadap kesalahan meletakkan kenderaan yang menghalang penglihatan pengguna jalan raya dipertingkatkan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta keselamatan orang ramai.
“Keselamatan pengguna jalan raya adalah tanggungjawab bersama. Langkah pencegahan yang dilaksanakan hari ini mampu mengelakkan kemalangan yang lebih serius serta kehilangan nyawa pada masa hadapan.
“Kami berharap pihak berkuasa akan memberi perhatian serius terhadap isu ini dan mengambil tindakan sewajarnya demi menjamin keselamatan seluruh pengguna Jalan Keningau-Apin Apin, khususnya penduduk di kawasan Bingkor dan sekitarnya,” katanya.






























