KUCHING: Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dan Gardenia komited melabur RM30 juta di Sarawak menerusi penubuhan Gardenia Bakeries (Sarawak) Sdn. Bhd. yang dijangka mewujudkan 500 peluang pekerjaan baharu, khususnya kepada graduan dan pekerja mahir tempatan.
Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau berkata, kerjasama strategik yang dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Sanjung Etika Sdn. Bhd. dan Yayasan Sarawak menandakan permulaan lembaran baharu dalam industri makanan serta pembangunan sosioekonomi negeri itu.
“Hari ini bukan sekadar majlis menandatangani sehelai kertas. Hari ini adalah titik permulaan kepada satu lembaran baharu dalam industri makanan dan sosioekonomi di Sarawak.
“Melalui MoU ini, dan dalam tempoh tiga bulan akan datang, kami akan memasuki fasa Perjanjian Usahasama dan Perjanjian Pemegang Saham bagi penubuhan Gardenia Bakeries (Sarawak) Sdn. Bhd., yang menggabungkan kepakaran pembuatan Gardenia dengan visi pembangunan modal insan dan komuniti oleh Yayasan Sarawak melalui anak syarikatnya, Sanjung Etika Sdn. Bhd.,” katanya pada majlis menandatangani MoU antara KTC, Gardenia, Sanjung Etika Sdn. Bhd. dan Yayasan Sarawak di sini hari ini.

Lau berkata, KTC mula melabur di Sarawak sejak 10 tahun lalu tanpa seorang pun pekerja tempatan, namun kini syarikat itu menggaji 400 rakyat Sarawak, mewakili 32.5 peratus daripada keseluruhan tenaga kerjanya.
Katanya, pencapaian itu membuktikan kejayaan sistem pendidikan, pembangunan modal insan dan kebajikan negeri dalam melahirkan bakat yang berdaya saing untuk sektor swasta.
“Hasil daripada pelaburan KTC sebanyak RM300 juta di Sarawak selama ini telah mencapai pulangan hasil tahunan RM400 juta dengan pengurusan aset operasi dan perdagangan mencecah RM140 juta.
“Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa sokongan padu rakyat Sarawak, Kerajaan Sarawak, rakan kongsi dan para pekerja kami,” katanya.

Lau berkata, Gardenia sentiasa komited menyediakan produk roti dan bakeri yang berkualiti tinggi, segar dan berkhasiat kepada rakyat Malaysia, dan kini mahu membawa kilang, teknologi, kepakaran serta peluang pekerjaan itu terus kepada rakyat Sarawak.
Beliau berkata, syarikat itu telah memohon tanah seluas 7.56 ekar bagi pelaksanaan operasi Gardenia Bakeries (Sarawak) Sdn. Bhd. dan mengumumkan komitmen pelaburan RM30 juta untuk projek berkenaan.
“Sokongan daripada Kerajaan Sarawak bagi permohonan ruang dan tapak tanah tersebut akan membuka 500 peluang pekerjaan baharu khusus untuk graduan dan pekerja mahir Sarawak,” katanya.
Pada masa sama, Lau berkata, KTC menyokong penuh visi ekonomi jangka panjang Premier Sarawak, Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, termasuk pengumuman penubuhan Pejabat Hubungan Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATOS) di Pontianak, Indonesia.
“KTC merancang memanfaatkan platform ini untuk meneroka peluang pelaburan baharu di Sarawak serta membantu inisiatif pembangunan yang digerakkan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau turut berharap sokongan berterusan kerajaan negeri dapat mempercepatkan pelaksanaan pelaburan tersebut bagi menjana kemakmuran bersama, memperkukuh kestabilan bekalan makanan serta menghasilkan impak sosioekonomi yang optimum.
Dalam perkembangan sama, KTC dan Gardenia akan memperkenalkan produk serta pembungkusan khas “Gardenia Sarawak Edition” sebagai penghargaan kepada identiti unik, budaya dan kebanggaan rakyat negeri itu.
“Ini merupakan hadiah istimewa daripada kami sebagai tanda penghargaan kepada identiti unik, budaya dan kebanggaan seluruh rakyat Sarawak,” katanya.
Lau berkata, KTC dan Gardenia optimis terhadap masa depan kerjasama itu dan yakin, dengan sokongan Kerajaan Sarawak, Yayasan Sarawak serta rakyat negeri berkenaan, Gardenia Bakeries (Sarawak) Sdn. Bhd. mampu muncul sebagai satu lagi mercu tanda kejayaan baharu yang membanggakan Sarawak.
Maklumat lanjut mengenai KTC boleh diperoleh menerusi laman rasmi KTC: https://kimteckcheong.com/
































