PUTATAN: Program tilawah Al-Quran kanak-kanak mampu melahirkan generasi celik Al-Quran serta menjadi platform melahirkan pelapis qari dan qariah di Sabah pada masa hadapan, kata Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
Beliau berkata, usaha berterusan kerajaan bersama masyarakat dalam memupuk bakat qari dan qariah cilik perlu diperkasakan menerusi pendedahan awal kepada asas tajwid, teknik taranum dan bacaan Al-Quran.
Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja mekanisme berkesan untuk meningkatkan kemahiran membaca Al-Quran, malah turut menyemarakkan budaya Islamik dalam kalangan umat Islam.
“Program memupuk masyarakat celik Al-Quran adalah langkah murni untuk kita sebagai umat Islam dan pada masa sama meningkatkan ketakwaan kita kepada agama.
“Sehubungan itu, pendekatan holistik melibatkan kerjasama kerajaan dan orang awam dalam pembabitan program celik Al-Quran amat positif selain dapat melahirkan pelapis qari atau qariah di negara ini,” katanya selepas menghadiri Pertandingan Tilawah Al-Quran Kanak-Kanak anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tanjung Aru Lama di Tanjung Aru, dekat sini, hari ini.
Shahelmey turut menggesa penglibatan lebih meluas komuniti dan persatuan dalam usaha memperkasa program celik Al-Quran supaya inisiatif berkenaan dapat diteruskan secara berterusan.
Terdahulu, seramai lapan kanak-kanak dari sekitar komuniti Tanjung Aru mengambil bahagian dalam pertandingan tilawah tersebut.
Beliau berkata, program seumpama itu penting sebagai platform mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi, sekali gus memastikan kesinambungan tradisi pembacaan Al-Quran yang berkualiti dalam kalangan generasi muda.






























