James bergambar kenangan bersama barisan kepimpinan dan kakitangan Jabatan Tenaga Kerja Sabah selepas sesi perbincangan strategik di Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan memperkukuh kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) Sabah dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah bagi melahirkan tenaga kerja yang lebih berkemahiran, berdaya saing dan bersedia memenuhi keperluan industri masa hadapan.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata, pembangunan modal insan perlu dilihat sebagai agenda strategik negeri kerana kekuatan ekonomi Sabah bukan sahaja bergantung kepada pembangunan fizikal, tetapi turut ditentukan oleh kualiti modal insan yang berilmu, berkemahiran, berinovasi dan mempunyai etika kerja yang tinggi.
Menurutnya, JTK Sabah bukan sekadar berperanan sebagai agensi penguatkuasaan undang-undang perburuhan, malah merupakan rakan strategik kerajaan dalam mewujudkan ekosistem pekerjaan yang stabil, kondusif dan berdaya saing.
“Peranan JTK Sabah jauh melangkaui fungsi penguatkuasaan. Jabatan ini turut membimbing majikan memahami serta mematuhi undang-undang perburuhan, sekali gus melindungi hak pekerja, meningkatkan keyakinan pelabur dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya ketika menghadiri sesi perbincangan strategik bersama kepimpinan JTK Sabah yang menghimpunkan 55 pegawai kanan jabatan mewakili keseluruhan 251 warga JTK Sabah dari seluruh negeri, di sini, pada Selasa.
James turut mengiktiraf komitmen JTK Sabah yang melaksanakan amalan berpandukan prinsip Labour Inspection Convention, sekali gus memastikan standard perburuhan di Sabah terus mematuhi piawaian antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan beberapa cadangan strategik bagi memperkukuh pembangunan modal insan negeri, termasuk memperkenalkan inisiatif Work Ready Sabah yang menggabungkan latihan kemahiran teknikal, kemahiran insaniah, pendidikan perburuhan dan persediaan kerjaya bagi melahirkan graduan latihan yang lebih bersedia memasuki alam pekerjaan.
Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya Modul Pendidikan Perburuhan diperkenalkan dalam program latihan di bawah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM), khususnya di Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP) Papar.
Katanya, latihan kemahiran pada masa kini tidak lagi memadai sekadar memberi pengetahuan teknikal, sebaliknya perlu melengkapkan peserta dengan kefahaman mengenai profesionalisme, etika kerja, hak pekerja serta tanggungjawab majikan.
Bagi memastikan tenaga pengajar sentiasa mengikuti kehendak industri, James turut mencadangkan pelaksanaan program Training of Trainers (ToT) secara bersama antara KPSTI dan JTK Sabah.
Pada masa sama, beliau mahu hubungan dengan sektor industri diperkukuhkan melalui penganjuran karnival kerjaya, latihan industri serta perkongsian data pasaran buruh bagi memastikan kursus dan latihan yang ditawarkan benar-benar memenuhi permintaan sebenar industri.
Mengulas mengenai hala tuju pembangunan kemahiran negeri, James berkata, penubuhan Sabah Skills Development Sdn. Bhd. (SSD) sebagai mandat strategik baharu Kerajaan Negeri akan menjadi mekanisme penyelarasan pembangunan kemahiran yang lebih bersepadu.
Menurutnya, SSD bukan sekadar sebuah entiti baharu, malah berperanan memastikan setiap pelaburan kerajaan dalam pembangunan kemahiran memberikan return on value yang optimum kepada rakyat, industri dan ekonomi negeri.
“Saya yakin melalui sinergi yang kukuh antara KPSTI, JPSM, Jabatan Tenaga Kerja Sabah, institusi latihan dan sektor industri, kita mampu melahirkan tenaga kerja Sabah yang bukan sahaja memenuhi keperluan industri hari ini, malah bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga JTK Sabah atas komitmen berterusan dalam menjaga kepentingan pekerja dan majikan serta memperkukuh hubungan perusahaan yang harmoni di negeri ini.
James berharap sesi tersebut menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih erat antara semua pihak dalam membina ekosistem pembangunan modal insan yang lebih menyeluruh, sekali gus menyokong aspirasi Sabah untuk memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi, beretika dan berdaya saing.
Turut hadir ialah Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh; Setiausaha Tetap KPSTI, Datuk Hasan Mahali; Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sabah, Wan Zulkfli Wan Setapa; serta Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Skills Development (SSD), Ts. Hazrullizam Idris.
































