Masidi menyempurnakan gimik perasmian majlis tersebut.
RANAU: Kerajaan Negeri akan terus memastikan pembangunan serta penyediaan kemudahan di kawasan luar bandar diberi perhatian bagi meningkatkan kesejahteraan, keselesaan dan kualiti hidup rakyat.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kemudahan yang berkualiti bukan sahaja memberi keselesaan kepada penduduk, malah membuka peluang kepada pembangunan ekonomi setempat, memperkukuh aktiviti sosial serta mewujudkan komuniti yang lebih sejahtera.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Dewan Serbaguna dan Sambutan Kaamatan Kampung Mohimboyon di sini, kelmarin.
Masidi berkata, penyediaan kemudahan seperti dewan serbaguna bukan sekadar menyediakan ruang untuk penganjuran majlis dan aktiviti kemasyarakatan, malah berperanan sebagai pusat penyatuan penduduk.
“Penyediaan kemudahan seperti dewan serbaguna bukan sekadar menyediakan ruang untuk penganjuran majlis dan aktiviti kemasyarakatan, malah menjadi pusat penyatuan penduduk serta mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan memastikan setiap projek pembangunan dan kemudahan awam dilaksanakan mengikut jadual serta memenuhi spesifikasi dan standard yang ditetapkan.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan manfaat daripada setiap projek dapat dinikmati rakyat secara maksimum.
“Oleh yang demikian, kerajaan akan terus memberi penekanan kepada pembangunan luar bandar bagi memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus pembangunan serta setiap rakyat berpeluang menikmati hasil kemajuan negeri secara saksama,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan yang seimbang antara bandar dan luar bandar amat penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan secara menyeluruh.
Masidi turut menegaskan komitmen Kerajaan untuk meneruskan usaha memperkasa kemudahan asas dan infrastruktur di kawasan luar bandar sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negeri.
Pada masa sama, beliau mengajak semua lapisan masyarakat supaya terus memelihara semangat perpaduan, kerjasama dan saling menghormati yang menjadi asas kepada keharmonian dan kemajuan sesebuah komuniti.
Menurutnya, semangat kebersamaan yang kukuh akan membantu mempercepatkan pembangunan serta mewujudkan persekitaran yang lebih harmoni dan progresif.
Beliau berkata, kerjasama erat antara Kerajaan dan masyarakat amat penting bagi memastikan segala usaha pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan demi manfaat generasi masa kini dan akan datang.

































