James (dua dari kanan) bergambar bersama para penerima hadiah.
SANDAKAN: Prestasi pendidikan di daerah ini terus menunjukkan perkembangan positif apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 mencatatkan pencapaian lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen tinggi warga pendidik, kepimpinan sekolah, ibu bapa serta pelajar dalam memperkukuhkan kualiti pendidikan di daerah berkenaan.
Menurut beliau, Gred Purata Daerah (GPD) SPM Sandakan meningkat daripada 5.06 pada 2024 kepada 4.87 pada 2025, sekali gus merekodkan peningkatan sebanyak 0.19 mata.
“Bagi STPM 2025 pula, Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) turut meningkat daripada 2.86 kepada 2.92, sekali gus mencerminkan budaya kecemerlangan yang semakin kukuh dalam kalangan sekolah di daerah ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) 2026 peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan di SMJK Tiong Hua Sandakan, kelmarin.
James berkata, pencapaian tersebut tidak seharusnya menyebabkan semua pihak cepat berpuas hati, sebaliknya perlu dijadikan pemangkin untuk terus memperkukuhkan budaya kerja cemerlang dan memperkasa inovasi dalam pengajaran serta pembelajaran.
Katanya, usaha berterusan itu penting bagi melahirkan lebih ramai pelajar yang mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.
Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan kekal menjadi pelaburan paling penting dalam membangunkan modal insan serta menjamin kemajuan Sabah pada masa hadapan.
Menurutnya, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), Kerajaan Negeri akan terus memperkukuhkan sektor pendidikan menerusi pelbagai dasar dan inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Kerajaan Negeri komited memastikan tiada anak Sabah tercicir daripada menikmati peluang pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang atau lokasi,” katanya.
James berkata, antara bantuan yang terus dilaksanakan ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS) serta pelbagai bentuk bantuan pendidikan dan kebajikan lain.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan bukan sahaja membantu meringankan beban keluarga, malah memperluaskan akses pendidikan dan memperkukuhkan prestasi pendidikan negeri.
Menyentuh perkembangan teknologi, beliau berkata sistem pendidikan perlu bergerak seiring dengan perubahan era digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi melahirkan generasi yang kreatif, inovatif, berfikiran kritis serta mempunyai nilai murni.
Katanya, guru dan pemimpin sekolah kini memikul tanggungjawab lebih besar, bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah membentuk sahsiah, membimbing potensi serta mencorakkan masa depan generasi muda.
Dalam pada itu, James merakamkan penghargaan kepada PPD Sandakan atas kejayaan menganjurkan MAPenS 2026 yang disifatkannya sebagai platform penting untuk menghargai jasa dan dedikasi warga pendidikan.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah dan berharap pengiktirafan yang diterima menjadi pemangkin untuk terus meningkatkan kecemerlangan, di samping menyeru seluruh warga pendidikan, ibu bapa dan masyarakat agar terus berganding bahu memperkukuhkan sistem pendidikan di Sabah.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Sandakan, Datu Roslin Datu Siabok; Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk Walter Kenson; dan Pengerusi Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Daerah Sandakan, Malaim Gumbina.

































