Julia dan Masturah mewakili Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat ketika membuat laporan polis di IPD Kota Kinabalu, semalam.
KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap beberapa hantaran media sosial yang didakwa berunsur fitnah dan boleh menjejaskan reputasi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Semalam, pergerakan itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berhubung beberapa hantaran yang dimuat naik pada atau sekitar 1 Julai lalu oleh pemilik akaun Facebook menggunakan nama Hamdin Nordin.
Laporan berkenaan dibuat susulan dakwaan bahawa individu terbabit telah menerbitkan kenyataan yang mengaitkan Hajiji dengan tindakan mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia menghalang kemasukan seorang aktivis, Asraf Sharafi Mohammad Azhar ke Sabah.
Pergerakan itu berpendapat dakwaan tersebut merupakan tuduhan serius yang dipercayai tidak berasas dan berpotensi mengelirukan masyarakat.
Menurutnya, kenyataan sedemikian juga boleh menjejaskan nama baik serta reputasi Ketua Menteri.
Laporan polis itu diwakili Exco Wanita Gagasan Rakyat, Julia Ahmad Bahrom Titingan dan Masturah Jamrah, bersama dua ahli wanita pergerakan berkenaan.
Selain itu, mereka turut membangkitkan satu lagi hantaran yang dimuat naik oleh individu sama yang mengaitkan Hajiji, yang ketika ini sedang menunaikan ibadah umrah di Makkah, dengan watak Abu Jahal.
Menurut Wanita Gagasan Rakyat, kenyataan tersebut dianggap menghina dan memperlekehkan Ketua Menteri dalam konteks keseluruhan hantaran berkenaan.
Mereka berpandangan kedua-dua hantaran itu berpotensi menimbulkan kebencian terhadap Hajiji, selain mencemarkan reputasi beliau.
Katanya, perkara itu juga boleh mengganggu keharmonian dan ketenteraman awam sekiranya tidak ditangani mengikut saluran undang-undang.
Sehubungan itu, laporan polis dibuat bagi memohon supaya PDRM menjalankan siasatan menyeluruh terhadap perkara tersebut di bawah mana-mana peruntukan undang-undang berkaitan.
Ini termasuk sekiranya terdapat unsur fitnah, penyebaran maklumat palsu, komunikasi jelik atau apa-apa kesalahan lain yang diperuntukkan oleh undang-undang.
Wanita Gagasan Rakyat turut menyeru semua pihak supaya lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial.
Menurut mereka, setiap kenyataan yang disebarkan perlu berasaskan fakta serta tidak menimbulkan fitnah, kebencian atau perpecahan dalam kalangan masyarakat.


























