KOTA KINABALU: Ekonomi Sabah berkembang 5.1 peratus pada tahun 2025, meningkat ketara berbanding pertumbuhan 1.2 peratus yang direkodkan pada 2024, sejajar dengan prestasi ekonomi negara yang turut mencatat pertumbuhan positif.
Menurut laporan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Mengikut Negeri 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), nilai KDNK Sabah pada harga semasa meningkat kepada RM88.8 bilion berbanding RM84.5 bilion pada tahun sebelumnya, iaitu pertambahan sebanyak RM4.3 bilion.
Pada peringkat nasional, ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus pada 2025, mengekalkan kadar pertumbuhan yang sama seperti tahun sebelumnya.
Dari segi komposisi ekonomi, sektor Perkhidmatan dan sektor Perlombongan dan Pengkuarian kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi Sabah dengan sumbangan kumulatif 74.1 peratus daripada keseluruhan KDNK negeri.
Sektor Perkhidmatan menyumbang 52.1 peratus kepada ekonomi negeri dan berkembang 4.5 peratus berbanding 4.2 peratus pada 2024, dipacu oleh subsektor berkaitan pelancongan iaitu perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan, selain subsektor Perkhidmatan Kerajaan.
Sektor Perlombongan dan Pengkuarian yang menyumbang 22 peratus kepada ekonomi Sabah pula melonjak 4.9 peratus selepas merekodkan penguncupan negatif 4.9 peratus pada 2024.
Prestasi itu didorong peningkatan pengeluaran minyak mentah dan kondensat serta gas asli.
Sektor Pertanian yang menyumbang 13.9 peratus kepada KDNK negeri turut mencatat pemulihan dengan pertumbuhan 0.9 peratus berbanding penguncupan negatif 3.2 peratus pada tahun sebelumnya.
Pemulihan sektor berkenaan didorong oleh peningkatan dalam subsektor tanaman, khususnya pengeluaran kelapa sawit.
Sektor Pembuatan pula berkembang 5.0 peratus berbanding 1.2 peratus pada 2024, hasil peningkatan pengeluaran produk minyak dan lemak daripada sayuran serta haiwan, selain produk makanan diproses.
Dalam masa sama, sektor Pembinaan mencatat pertumbuhan paling kukuh sebanyak 28.3 peratus berbanding 21.5 peratus pada tahun sebelumnya.
Pertumbuhan sektor itu disokong oleh perkembangan dalam semua subsektor, terutama subsektor kejuruteraan awam.
Dari segi sumbangan kepada ekonomi negeri, sektor Pembuatan menyumbang 7.2 peratus manakala sektor Pembinaan menyumbang 4.4 peratus. Duti import pula menyumbang 0.4 peratus.
Prestasi ekonomi yang lebih baik turut diterjemahkan kepada peningkatan KDNK per kapita Sabah yang naik sebanyak RM550 kepada RM31,125 berbanding RM30,575 pada 2024.
Bagaimanapun, angka itu masih jauh di bawah purata nasional yang mencatat KDNK per kapita sebanyak RM59,167.
Secara keseluruhannya, Sabah menyumbang 5.1 peratus kepada ekonomi Malaysia, mengekalkan kadar yang sama seperti tahun sebelumnya dan kekal sebagai ekonomi ketujuh terbesar di negara ini.
Dalam perkembangan berkaitan, DOSM kini sedang melaksanakan Banci Ekonomi 2026 (BE2026) bertemakan “Data Nadi Ekonomi Rakyat” yang berlangsung dari 5 Januari hingga 31 Oktober 2026.
Banci Ekonomi kali keenam itu bertujuan mengumpul data menyeluruh dan berstruktur daripada semua pertubuhan perniagaan berdaftar dan tidak berdaftar di Malaysia bagi menilai prestasi, struktur serta ciri-ciri ekonomi negara secara komprehensif dan berasaskan bukti.
DOSM turut memaklumkan Malaysia buat julung kalinya menduduki tangga pertama dunia dalam laporan dwi-tahunan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 yang diterbitkan Open Data Watch (ODW), mengatasi 197 negara lain selepas melonjak daripada kedudukan ke-67 dalam penilaian 2022/23.
Orang ramai juga boleh mengakses pelbagai data dan visualisasi statistik menerusi platform OpenDOSM NextGen yang menyediakan katalog data untuk tujuan analisis dan rujukan.
































