KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menggesa Kerajaan Persekutuan menyemak semula pelaksanaan mekanisme BUDI Diesel supaya lebih mengambil kira realiti sosioekonomi, geografi dan corak kehidupan rakyat di Sabah dan Sarawak.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, beliau memaklumkan telah menghantar usul berhubung perkara itu melalui Setiausaha Dewan Rakyat pada 25 Jun lalu di bawah Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
Madius berkata, syarat kelayakan sedia ada yang mewajibkan kenderaan diesel didaftarkan atas nama pemohon di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak mencerminkan keadaan sebenar di Sabah dan Sarawak.
“Ramai pengguna di kedua-dua wilayah ini menggunakan kenderaan yang didaftarkan atas nama ahli keluarga, syarikat keluarga atau pemilik terdahulu, termasuk melalui urusan sambung bayar,” katanya.
Beliau berkata, di Sabah dan Sarawak, kenderaan diesel seperti pacuan empat roda, pikap, lori kecil dan kenderaan utiliti merupakan satu keperluan, bukannya lambang kemewahan.
“Ia merupakan keperluan asas untuk bekerja, menjalankan aktiviti pertanian, perikanan, penternakan, pelancongan, logistik serta mengurus kehidupan harian, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang kekurangan sistem pengangkutan awam.
“Ia adalah kenderaan utama mencari rezeki. Oleh itu, dasar yang dilaksanakan mesti mengambil kira hakikat ini,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli itu berkata, kegagalan mendapatkan subsidi BUDI Diesel akan memaksa rakyat yang benar-benar bergantung kepada diesel membeli bahan api itu pada harga pasaran tanpa subsidi.
Menurutnya, keadaan itu akan meningkatkan kos sara hidup, kos pengeluaran pertanian, kos logistik dan harga barangan keperluan.
Melalui usul berkenaan, Madius yang juga Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengemukakan 10 cadangan utama.
Antara cadangan itu ialah menyemak semula syarat kelayakan supaya mengambil kira pengguna sebenar kenderaan, membenarkan ahli keluarga terdekat menikmati subsidi jika mereka merupakan pengguna sebenar, mewujudkan mekanisme pengesahan alternatif melalui Ketua Kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Pegawai Daerah, menyediakan saluran rayuan khas serta memperkenalkan mekanisme BUDI Diesel yang mengambil kira keadaan unik Sabah dan Sarawak.
“Saya juga mencadangkan supaya tindakan penguatkuasaan terhadap pemohon di Sabah dan Sarawak ditangguhkan sementara bagi kes yang melibatkan isu pemindahan hak milik dan dokumentasi.
“Sesi libat urus bersama kerajaan negeri, wakil rakyat dan pemain industri juga perlu diadakan sebelum pelaksanaan penuh dasar tersebut.
“Kita menyokong usaha kerajaan memperkukuh pengurusan subsidi dan membanteras ketirisan. Namun, rakyat yang benar-benar layak tidak seharusnya dinafikan hak mereka hanya kerana prosedur pentadbiran yang tidak mencerminkan keadaan sebenar di lapangan,” katanya.
Madius turut menegaskan bahawa pelaksanaan sesuatu dasar nasional yang memberi kesan langsung kepada Sabah dan Sarawak perlu dirangka melalui rundingan yang bermakna dengan kerajaan negeri.
Menurut beliau, pendekatan itu selaras dengan semangat MA63, prinsip federalisme serta kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah pengasas Persekutuan Malaysia.
“Dasar yang baik bukanlah dasar yang dilaksanakan secara sama rata kepada semua, tetapi dasar yang dilaksanakan secara adil mengikut keperluan sebenar rakyat,” katanya.






























