Redonah Bahanda
KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mempertahankan tindakan Kerajaan Negeri berhubung keputusan tidak membenarkan kemasukan Pengarah Eksekutif Bersih, Asraf Sarafi, ke Sabah serta mengecam tindakan pihak tertentu yang didakwa menyalahgunakan kebebasan bersuara dengan membuat tuduhan tanpa asas terhadap institusi kerajaan dan kepimpinan negeri.
Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda berkata, kebebasan bersuara merupakan hak yang dijamin dalam sistem demokrasi, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina, menghasut atau mengeluarkan kenyataan yang melampaui batas kesopanan.
Beliau mengulas tindakan seorang aktivis belia dan mahasiswa yang didakwa mengeluarkan kenyataan serta hantaran di media sosial yang mengabaikan kedudukan undang-undang berkaitan hak autonomi imigresen Sabah.
Redonah berkata, keputusan Kerajaan Negeri yang tidak membenarkan kemasukan Asraf ke Sabah perlu dihormati kerana dibuat berdasarkan kuasa autonomi imigresen yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan serta Akta Imigresen.
Katanya, autonomi imigresen Sabah bukan satu keistimewaan politik, sebaliknya hak perlembagaan yang lahir daripada syarat pembentukan Malaysia menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Autonomi ini membolehkan Kerajaan Negeri mempertimbangkan aspek keselamatan, ketenteraman awam dan kepentingan negeri sebelum membenarkan kemasukan seseorang ke Sabah.
“Semua pihak perlu menghormati setiap keputusan berkaitan kemasukan individu ke Sabah selagi ia dibuat mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Redonah berkata, hak berhimpun dan kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan tetap tertakluk kepada undang-undang sedia ada, termasuk Akta Perhimpunan Aman 2012, Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau turut menolak dakwaan yang disifatkan cuba membentuk persepsi negatif terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Menurutnya, Kerajaan Negeri terus komited memperkukuh tadbir urus dan integriti menerusi pelbagai inisiatif termasuk Pelan Antirasuah Organisasi (OACP), Pelan Integriti Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (PIPANS), Governance, Integrity and Anti-Corruption (GIA) serta BIGoNS.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya menghormati institusi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah serta mengamalkan budaya demokrasi yang matang berasaskan fakta, undang-undang dan rasa hormat terhadap institusi negara.
“Kebebasan bersuara bukan lesen untuk melanggar undang-undang. Demokrasi yang matang menuntut kebebasan disertai tanggungjawab,” katanya.
































