Wilfred Madius Tangau
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau terus memperjuangkan isu kesesakan lalu lintas yang membelenggu pengguna jalan raya susulan penutupan Jambatan Tamparuli (Low Level Crossing).
Terbaharu, beliau pada Isnin membangkitkan perkara itu dalam sesi Pertanyaan Lisan kepada Menteri Kerja Raya pada Persidangan Dewan Rakyat.
Dalam soalannya, Madius yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli meminta Kementerian Kerja Raya (KKR) menyatakan langkah alternatif bagi mengurangkan kesesakan jalan akibat penutupan jambatan berkenaan.
“Penutupan ini telah memberi kesan yang ketara dan menyebabkan kesesakan di Jalan Telibong–Pekan Tamparuli serta laluan utama Jalan Tamparuli–Ranau,” katanya.
Dalam jawapan bertulis, KKR menjelaskan semakan melalui Jabatan Kerja Raya Sabah (JKR Sabah) mendapati jambatan itu berada di bawah bidang kuasa JKR Sabah dan diselenggara oleh syarikat konsesi yang dilantik Kerajaan Negeri.
Menurut kementerian itu, penutupan fasiliti berkenaan terpaksa dilakukan selepas struktur jambatan mengalami kerosakan yang memerlukan kerja baik pulih segera.
“Kementerian memberi jaminan bahawa kerja-kerja pembaikan sedang giat dilaksanakan dan dijadualkan siap sepenuhnya menjelang penghujung September 2026.
“Berdasarkan jadual perancangan, jambatan tersebut dijangka dibuka semula untuk kemudahan pengguna pada awal Oktober 2026,” menurut KKR.
Sepanjang tempoh penutupan, orang ramai disarankan menggunakan laluan alternatif seperti Jalan Bontoi–Tamparuli dan Jalan Kota Kinabalu–Kudat bagi membantu menyuraikan kesesakan lalu lintas.
Dalam pada itu, KKR memaklumkan bahawa sebagai penyelesaian jangka panjang, jambatan Low Level Crossing berkenaan akan dinaik taraf kepada sebuah jambatan kekal.
Menurut kementerian itu, cadangan projek naik taraf berkenaan telah mendapat kelulusan pembiayaan Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Rolling Plan 5, Rancangan Malaysia Ke-12 (RP5 RMKe-12).
Selain itu, KKR turut mengemukakan permohonan bagi “Projek Menggantikan Jambatan Tamparuli (Sg. Tuaran) KM35.78 Jalan Kota Kinabalu–Kudat, Tuaran” untuk pertimbangan Agensi Pusat melalui Rolling Plan 2, Rancangan Malaysia Ke-13 (RP2 RMK13).
“Bagaimanapun, keputusan rasmi mengenai permohonan projek tersebut hanya akan diputuskan dan dimaklumkan kepada umum selepas pembentangan Bajet Kerajaan 2027,” menurut kementerian itu.
































